Wednesday, 29 August 2012

Kekasih Palsu 5,6


BAB 5
            AKU melarikan diri menuju ke kawasan belakang Asrama Putera Emas. Kawasan itu dipenuhi pokok-pokok dan sedikit hutan yang menghijau. Kawasan itu agak berbukit dan aku berlari tanpa mempedulikan akar-akar pokok yang menjalar di tanah. Tiba di satu kawasan yang agak lapang, aku mencari tempat untuk duduk untuk melepaskan lelah. Akhirnya aku temui batang pokok yang tumbang berukuran agak besar dan aku bertenggek di situ.
            “Maafkan saya... saya tak sengaja.” Aku duduk memeluk lutut. Baju sekolah yang belum ditukar itu menjadi sedikit kotor. Aku tidak mempedulikannya lagi. Rasa takut terus-menerus menghantuiku kerana telah mencederakan Harry- Presiden Persatuan Pelajar.
            Selepas kejadian itu aku terus melarikan diri kerana takut diapa-apakan oleh lelaki itu jika dapat menangkap aku.
            “Macam mana ni? Aku takut nak balik asrama...” Aku mula terasa ingin menangis. Sempat melihat kawasan sekeliling dipenuhi pokok-pokok yang tinggi. Aku masih berada dalam kawasan Sekolah Tinggi Adam Taylor. Awan pula mula bertukar mendung. Aku terasa satu titisan air menitis di hidungku ketika mendongak ke langit.
            “Nak hujan...” Aku masih memandang awan yang mula menutupi cahaya matahari. Angin pula bertiup agak kuat sehingga daun-daun dari pohon berguguran ke tanah. Aku masih terpaku di situ. Angin sejuk bertiup. Setitik... dua titik... awan mulai memuntahkan isi. Aku masih masih tidak berganjak.
            “Adakah dia akan bunuh aku?!” Aku menangis. Air mataku lebih lebih lebat dari hujan yang hanya bergerimis.
**********
            HARRY menggenggam tangannya dengan erat. Sakit sungguh hatinya mengenangkan seorang perempuan yang sungguh licik itu. Kalau perempuan itu muncul di depannya sekarang. Tahulah bagaimana dia akan mengajarnya.
            “Harry!” Sam mengetuk pintu biliknya dengan bertalu-talu.
            Harry bangun dari katil dengan lambat-lambat. Mujurlah rasa sakitnya itu semakin kurang. Memang dasar perempuan kurang ajar!
            “Ada apa?” Harry menyoal sejurus pintu dibuka. Dahinya sedikit berkerut menandakan dia rasa terganggu.
            “Kau ada nampak Marhaya?” Soal Sam. Sedikit cemas.
“Aku bukan pengasuh dia!” Ujar Harry selajur mahu menutup pintu kembali. Namun Sam lebih cepat menghalang.
“Aya... tak ada kat bilik dia. Kak Siti pun cari dia merata tadi. Aya tak akan pergi ke mana-mana tanpa melaporkan pada Kak Siti.” Ujar Sam dengan bertegas. Selaku Ketua Pengawas Keceriaan Asrama, Nur Marhaya berada di bawah pengawasannya.
“Kau fikir dia ada dalam bilik aku?” Harry kelihatan sedikit marah. Pintu bilik hanya di buka separuh. Manakala, Sam hanya terdiam.
Sam sebenarnya disarankan oleh Ray supaya mencari Nur Marhaya di bilik Ketua Pelajar yang baru itu. Walaupun pada awalnya dia agak ragu-ragu, namun apa-apa kemungkinan boleh terjadi.
Harry melihat wajah Sam yang kering itu terus membuka pintu biliknya dengan luas.
“Carilah...” Harry berdiri di tepi pintu, wajahnya amat tegas.
I’m sorry, presiden.” Sam tidak jadi untuk masuk. Dia sedar, Harry tentu tidak akan membuat perkara seperti itu memandangkan dia seorang pemimpin pelajar yang sangat elit. Sudah tentu perlu menjaga segala tata-tertib kerana dia adalah ikon pelajar.
“Senior Sam, ada orang ternampak Aya berlari masuk ke hutan belakang asrama dalam setengah jam tadi.” Lapor seorang junior mereka tatkala menghampiri Sam dan Harry di depan bilik bekas presiden asrama itu.
What?!” Sam amat terkejut. Saat itu juga kedengaran guruh berdentum kuat menggegarkan Asrama Putera Emas. Mereka serentak beristighfar. Terkejut.
“Senior Ray dah pergi cari dia lepas dapat tahu.” Beritahu junior itu lagi.
Sam tidak menunggu lama untuk membuka langkah. Dia turut ingin mencari gadis itu. keselamatan Nur Marhaya diutamakan!
Harry hanya berdiri kaku di situ. Manakala junior itu memandang Harry sambil tersenyum hormat.
“Saya minta diri dulu, presiden.” Ujar junior itu seraya melangkah pergi.
**********
“MANA jalan tadi? Aku ikut jalan ni ke?” Aku mula keliru dengan jalan yang aku ambil ketika melarikan diri ke sini tadi. Suasana yang semakin gelap itu pula menyeramkan aku.
“Ya Allah... mana jalan aku ambil tadi. Tak kan aku tersesat kut?” Aku mengesat air mata yang tidak henti-henti mengalir. Tanganku mencapai satu ranting dari dahan pokok lalu aku patahkan. Manjadikannya senjata.
Hujan pula turun semakin lebat. Aku menggigil kesejukan. “Aaahh!!” Aku terasa kaki tersadung dan aku terjatuh ke tanah. Malang tidak berbau di situ juga ada cerun menyebabkan badanku tergolek-golek ke bawah.
**********
“Aya!!” Ray melaung nama gadis itu sekuat hati. Dia tidak kisah badannya basah kuyup ditimpa hujan yang lebat. Kawasan hutan belakang asrama itu diredah. Walaupun dia tidak tahu sama ada Nur Marhaya benar-benar berada di kawasan itu. Apa yang penting harus mencuba.
“Ray,” Sam menegur dari belakang.
Ray menoleh dan melihat Sam datang dengan membawa lampu suluh. Mungkin risau jika pencarian mereka menemui jalan buntu dan berlarutan sehingga malam.
“Sam, kau ada beritahu cikgu?!” Soal Ray kepenatan.
“Belum... aku fikir biar kita cari dia dulu. Aku terjumpa ni.” Ujar Sam sambil menunjukkan cekak milik Nur Marhaya yang dijumpainya di jalan masuk ke hutan ini. Mungkin gadis itu tidak menyedari dia tercicir cekak rambut berwarna hijau itu.
“Macam mana aku tak perasan tadi. Maknanya... betullah dia ada dalam hutan ni.” Keluh Ray. Buntu fikirannya memikirkan punca gadis itu melarikan diri ke hutan ini.
“Aku setuju! Jom, kita cari dia.” Sam mendahului langkah Ray. Lelaki itu nampak begitu bertangungjawab untuk membawa pulang Nur Marhaya.
**********
AKU cuba untuk memanjat naik ke atas tebing yang aku tergelincir tadi. Hujan yang turun mencurah-curah menyukarkan pergerakan.
            Aduh! Sakitnya... aku baru menyedari kakiku terseliuh. Baju sekolahku pula sudah kotor dengan warna tanah. Ish! Tak ada penyakit pergi cari penyakit pula aku ni. Akhirnya kasa kesal menggunung dalam hatiku. Uwaa... nak balik!
            Give me your hand!” Teriak satu suara dari atas.
            Aku mendongak. Namun, wajah itu kurang jelas dan aku hanya dapat melihat dalam samar-samar.
            “Tak... tak sampai.” Jeritku. Tangannya cuba aku capai.
            “Lompatlah sikit!”
            Aku akur, aku melompat sekali dan tangannya dapatku capai. Dia cuba menarikku ke atas. Aku turut memegang akar kayu yang berjuntai supaya meringankan bebannya menarikku ke atas.
            Akhirnya aku berjaya naik ke atas tebing itu namun badanku menjadi tidak seimbang dan aku terjatuh di atas badan penyelamatku itu.
            “Ahh! Maafkan saya!” Aku tersembam di dada lelaki itu yang bidang. Dia pula sudah terlentang kerana terlalu letih.
            “Berat macam badak!” Sergahnya.
            Aku memanggung kepala. Ahh! Lelaki ini.
            “Awak!” Aku terkejut. Mataku terbuntang ke depan. Mahu terkeluar rasanya. Kenapa mesti mamat ni yang selamatkan aku. Tak ada manusia lainkah?!
            “Kau ni memang menyusahkan orang!” Balasnya lagi.
            “Hah! Awak ni memang tak ikhlas!” Aku berdengus. Hish!
            “Berapa lama lagi kau nak bertakafur atas badan aku ni, hah!” Jerit Harry. Dia sudah tidak berdaya untuk bangun.
            Eh! Aku baru tersedar. Alamak malunya. Pantas aku bangun dari badannya yang masih terlentang itu. Hujan masih belum terhenti membasahkan wajahnya yang kacak. Rambutnya turut turun ke dahi.
            Pipiku tiba-tiba berubah merah. Malunya...
            Harry bangun dan duduk sambil membetulkan bajunya yang sudah kotor. Kemudian, dia bangun berdiri dan bersedia untuk melangkah pergi tanpa mempedulikan aku yang masih berteleku di tanah yang berlumpur.
            “Harry... jangan tinggalkan saya.” Aku memanggilnya. Aku sebenarnya tidak mampu untuk berjalan. Kakiku semakin sakit. Air mataku berjujuran turun.
            “Jangan nak mengada-ngada. Jalanlah...” Harry meneruskan langkah.
            “Aya... Harry!”
            Aku mencari arah suara yang aku cukup kenali itu. Dan dari kejauhan aku melihat Ray dan Sam berlari anak menghampiri kami. Harry turut berhenti meneruskan langkah.
            “Harry... kau pun cari Aya?” Soal Sam ketika sampai di depan Ketua Pelajar itu.
            Ray pula terus mendapatkan aku. “Aya, awak okey?”
            Aku mengangguk. “Senior Harry yang selamatkan saya.” Beritahuku jujur.
            “Awak boleh jalan ke tak ni?” Soal Ray lagi. Aku terdiam.
            Tanpa kuduga, Ray terus mencempungku. Badanku diangkat. Aku hanya diam. Dadaku turut berdebar.
            “Pegang bahu saya kuat-kuat.” Arah Ray.
            Sam hanya memerhati. Dan Harry langsung tidak memandang ke arah kami.
            “Mari kita balik, Sam tolong hubungi Dr. Addy. Kata ada kecemasan di Putera Emas.” Arah Ray sekali lagi kepada Sam. Dan Sam tidak berlengah terus berlari menuju ke Putera Emas.
            Aku memegang bahu Ray dengan kemas. Mataku dipejam rapat, aku tidak mahu memandang wajah Harry yang sudah mendahului mengatur langkah keluar dari hutan belakang Asrama Putera Emas itu.
**********
“KAKI dia terseliuh sikit. Suhu badan dia agak tinggi. So, dia kena berehat beberapa hari.” Beritahu doktor muda itu sambil memeriksa keadaanku.
“Doktor, boleh berikan dia MC. Esok mungkin dia tak boleh ke sekolah.” Ujar Ray yang sentiasa setia di sisiku sejak aku dimasukkan dalam bilik rawatan asrama ini.
“Semuanya akan saya uruskan, Tuan Muda Rayyan.” Doktor Addy tersenyum. Lelaki itu adalah doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Pelajar di sekolah ini.
“Terima kasih.” Ucap Ray seraya menghantar doktor itu keluar dari bilik rawatan tersebut.
Aku menarik selimut sehingga meliputi dadaku. Hidungku berair dan kepalaku pening. Semua tanda-tanda deman sudah kelihatan.
“Aya...” Ray sudah kembali dan duduk di sebelahku. Aku tersenyum ke arahnya.
Lelaki ini... dari manakah datangnya? Peribadimu sungguh luhur.
“Maaf... sebab dah menyusahkan Senior Ray. Mesti saya sangat berat, kan? Macam badak.” Aku bersuara. Juga serius ketika meluahkan perkara itu.
Ray ketawa. Aku mengerutkan dahi. Aku buat lawak ke?
“Mana ada Aya berat. Kalau boleh, tiap-tiap hari saya nak dukung Aya.” Ray tersengih.
Aku pula termalu sendiri. Haishh! Jangalah mengoda aku dengan senyuman kau tu!
“Er...” Aku turut tersengih. “Apa-apa pun, terima kasih sebab tolong saya.”
“Kenapa... Aya masuk hutan tu?” Soal Ray kemudian. Dia kelihatan serius kini.
“Saja nak ambil angin...” Bohongku. Takkanlah nak beritahu perkara sebenar.
Ray merenungku seolah-oleh ingin mencari kebenaran dari raut wajahku.
“Baiklah... awak berehat dulu. Saya ada hal sikit. Nanti saya datang jenguk awak lagi.” Ujar Ray dengan senyuman ramah. Sempat dia membetulkan selimutku sebelum melangkah keluar.
Aku mengeluh. Ahh! Kenapa tidak lelaki ini aje yang menyuruhku jadi kekasihnya. Argghh!! Bencinya aku kat lelaki keji tu!!!!!
Tapi! Dia yang selamatkan kau Aya. Kau langsung tak berterima kasih. Kata hatiku mula memperingatiku tentang itu.
Setelah apa yang berlaku dia masih sudi selamatkan aku... apakah ini bermaksud. Harry juga mengambil berat tentang aku? Tapi, aku tak rasa dia ikhlas. Ah... apa aku harus buat ni?
Dengan kaki yang terjengket-jengket aku berjalan keluar dari bilik rawatan yang terletak di tingkat paling bawah. Satu baris dengan biliku dan juga bilik Harry. Namun, bilik kami yang terletak di hujung sekali berhampiran dengan tangga.
Tuk! Tuk! Aku mengetuk bilik lelaki itu. Sekali... dua kali... Namun tiada jawapan. Dia masih marahkan aku ke? Aku mengeluh... aku perlu berterima kasih kat dia walau apa pun yang berlaku. Entah kenapa hatiku kuat menyuruhku membuka tombol pintunya.
Pintu biliknya tak berkunci! Aku terus memulas tombol dan membuka pintu dengan perlahan-lahan. Sedikit sahaja pintu dikuak. Mataku meninjau ke dalam.
“Harry!!” Aku menjerit. Kelihatan tubuh Harry terbaring di lantai. Aku yang cemas terus menapak masuk ke biliknya.
“Harry, awak kenapa ni?” Aku mengangkat kepalanya dan letak di atas ribaku. Matanya tertutup rapat manakala kepalanya panas.
“Awak demam jugak ke?” Aku menyoal cemas walaupun aku tahu dia tak mungkin mendengarnya. Lantas aku menepuk mukanya beberapa kali.
Harry membuka mata dengan perlahan-lahan.
“Awak... bangun, bangun.” Aku menggerakkan badannya.
Harry mengerutkan dahi sambil cuba untuk bangun. Aku membantu.
“Keluarlah! Buat apa kat bilik aku ni.” Dalam keadaan lemah dia masih berdaya menengking aku.
“Oh...” Aku geram. “Hati batu!” Aku membalas.
Harry berusaha untuk bangun namun dia jatuh terduduk kembali.
Shit!” Jeritnya sambil memegang kepala.
“Baik aku biar kau mati aje!” Aku yang dalam keadaan marah lantas bangun walaupun aku sendiri masih dalam keadaan tidak berdaya. Namun, langkahku sekali lagi terbejat apabila melihat Harry yang sangat lemah. Aku kembali kepadanya.
“Saya panggil doktor Addy. Awak tunggu kat sini.”
“Jangan...” Dia menghalangku. Tanganku di pegang supaya aku tidak meneruskan langkah. Aku melihatnya terbatuk-batuk.
“Awak demamlah. Kena la makan ubat.” Aku duduk kembali. Mencangkung,
“Aku tak makan ubat...” Luahnya perlahan.
“Apa?”
“Aku tak boleh makan ubat, pekak!”
Aku mengeluh. “Macam budak kecik!”
Harry bersin pula diselang-seli dengan batuk. Aku sekali lagi meletakkan tangan di dahinya.
“Demam ni...” Aku merenungnya. “Janganlah degil... awak kena makan ubat.” Aku cuba memujuk.
“Aku tak boleh makan... aku akan termuntah.”
Oh... alergi ubat rupanya. Aku faham kini. Kasihannya...
Harry bangun dari lantai, dia berjalan perlahan-lahan ke katilnya lalu merebahkan diri di situ. Matanya terus dipejam.
Aku melihatnya penuh dengan rasa kasihan. Kemudian mataku terpandang bajunya yang basah dan kotor di dalam sebuah bakul di penjuru bilik. Aku bangun dan pergi mengambil baju dan juga seluarnya. Aku hanya mengambil baju dan seluar panjang tanpa mengusik seluar kecilnya. Alamak... huhuhu. Aku termalu sendiri. Kakiku ingin melangkah keluar namun aku kembali semula ke katilnya. Selimutnya aku tarik dan menutup seluruh tubuhnya. Wajahnya seperti bayi yang sedang tidur. Sangat comel! Aku tersenyum...
**********

MALAM itu aku semakin sihat. Selepas makan ubat yang diberi oleh Doktor Andy aku keluar dari asrama menuju ke dewan makan. Kakiku sudah tidak meragam walaupun aku masih tidak boleh berjalan dengan betul. Macam minah senget jugaklah.
“Aya... kenapa datang sini. Kan tak sihat. Kalau nak makan, Kak Siti boleh minta tolong orang hantarkan.” Tegur Kak Siti yang kelihatan risau. Dahiku terus disentuhnya.
“Dah baik sikit la, kak. Aku tersengih. Dan Kak Siti turut mengangguk.
“Aya nak makan apa?” Soal Kak Siti.
“Aya dah makan, Senior Ray dah hantarkan tadi.” Aku berterus-terang.
Kak Siti tersenyum simpul. “Patutlah... Tuan Muda Rayyan tadi suruh pekerja kat sini buatkan bubur yang special. Mesti ada apa-apa ni kan?” Kak Siti mengusik.
“Mana ada... dia memang suka ambil berat pasal orang lain.” Aku cuba mengelak sebarang salah faham yang mungkin terbit di hati wanita itu.
“Emm... bubur tu ada lagi tak?” Soalku kemudian. Tiba-tiba aku teringatkan Harry yang masih tidak makan apa-apa dari tengah hari tadi. Masihku ingat, lelaki itu menyuruhku ambil makanan untuk dia. Menyesal pula aku dibuatnya... aduh!
“Dah habis la, Aya. Budak-budak tu dah sapu petang tadi.”
“Ohh...” Aku mengangguk. “Boleh saya pinjam dapur sekejap?”
*********
 HARRY membuka mata apabila terasa badannya digerak-gerakkan. Dia bangun dan menyandar di kepala katil.
“Awak tak makan sejak tengah hari tadi, kan?” Aku menghulurkan semangkuk bubur.
Harry kelihatan teragak-agak.
“Saya tak letak racunlah!” Aku memuncung. 
“Aku tak lapar.” Harry memalingkan wajahnya ke arah lain. Aku mengeluh. Ubat tak nak, bubur tak nak. Apa yang dia nak! Tapak kaki?!
Grrrr!
Aku hampir ketawa lepas apabila terdengar bunyi perutnya.
“Hahahah! Tak lapar la sangat. Cepatlah makan! Saya letak sini.” Aku malas mahu melayan sikap kebudak-budakan Ketua pelajar yang sombong ini.
Wajah Harry bertukar merah. Dia menutup perutnya dengan kedua belah tangan, namun bunyi itu tetap tidak berhenti.
“Hah!” Aku mengeluh dan menjelingnya dengan sinis. “Degil betul!”
Aku mengambil tempat di sebelahnya. Sempat aku menjenguk di luar pintu yang terbuka luas. Aku berdoa supaya tiada orang yang akan salah faham akan kehadiranku di bilik lelaki ini.
“Buka mulut.” Arahku. Akhirnya lelaki itu menurut, dia membuka mulut dan aku menyuapkan bubur itu. Sehingga habis separuh barulah Harry menolak.
“Dah lama...” Harry bersuara dengan perlahan. “Dah lama orang tak jaga aku macam ni...” Luahnya dengan perlahan.
“Apa?” Aku bertanya. Tidak aku dengar dengan jelas apa yang dituturkannya sebentar tadi.
“Bubur kau ni lebih baik bagi kat ayam. Langsung tak sedap!” Bentaknya keras.
Aku bereaksi seperti ingin mencekiknya. Geram!
“Bu... bukan saya yang buatlah!” Aku mengelak. Tak sedap sedap sangat ke? Aku mula terasa cuak. Nak rasa pun, sudu bekas mamat ni makan.
“Macam ni baru ada gaya jadi kekasih presiden!” Harry tersengih.
Dia puji aku ke? Huh! Kejap kutuk, kejap puji. Mana satu yang betul?
“Dah la... kau boleh keluar. Aku nak pergi solat.” Ujarnya kemudian.
Aku memandangnya dengan penuh tidak percaya. Boleh tahan boyfriend palsu aku ni!
********
BAB 6
BEBERAPA hari sudah berlalu. Dan hari ini aku hanya menghabiskan masa mengemas bilik rehat pelajar Asrama Putera Emas. Setelah pulang dari sekolah tadi, aku terus membuat kerja. Aku tidak mahu berada di bilik. Banyak gangguan!
“Aya.”
Aku mengeluh. Kenapa panjang sangat umur jin ni?! Aku buat tidak peduli. Aku terus menyapu habuk-habuk di meja TV menggunakan bulu ayam. Heh! Boleh pun panggil nama aku rupanya.
“Ahad ni... majlis tari-menari tu. So, hari ni aku nak bawak kau keluar.” Harry berjalan dengan bergaya dan melabuhkan punggungnya di kerusi panjang. Dia duduk menyilang kaki sambil mencapai majalah lalu berpura-pura membacanya.
Aku masih memekakkan telinga. Tak ada masa aku nak keluar, dia ingat aku ni apa? Sekilas aku melirik melihatnya. Dia ringkas hari ini, memakai T-shirt putih tanpa kolar dan seluar jeans berwarna gelap. Rambutnya juga kemas dan badannya berbau harum.
“Kau ingat senang ke perempuan dapat keluar dengan aku? Kau ni kira dah mencipta sejarah tahu!” Harry meninggikan suara dengan lagak sombongnya. Majalah di tangannya juga dilempar di atas meja begitu sahaja.
“Saya baru aje susun! Langsung tak bertamadun la awak ni!” Aku membalas nyaring.
“Bising betul!” Harry bangun dan berjalan menuju ke arah aku.
“Saya boleh berjalan sendirilah!” Aku menjerit tatkala dia sudah mengangkat tubuhku dengan sebelah tangannya. Badanku dibawa ke bahunya.
“Diamlah!” Harry terus melangkah keluar dari ruang itu. Dan aku cuba memukul belakangnya supaya badanku diturunkan.
**********
MULUTKU semakin memuncung apabila memasuki kereta yang dipandu oleh pemandu peribadinya. Lelaki itu kelihatan masih muda dalam lingkungan penghujung 30-an. Berkot kemas berwarna hitam. Seperti ahli kongsi gelap! Selang 40 minit kenderaan itu berhenti dan aku masih tetap membisu.
“Tuan muda. Kita dah sampai.” Ujar lelaki itu apabila memberhentikan kereta di hadapan sebuah pasaraya.
“Saya akan hubungi awak bila nak pulang nanti, Uncle Tam.” balas Harry sambil membuka pintu limousine hitam yang kami naiki itu.
Tam? Nama pemandu tu Tam! Tapi putih je aku tengok. Sempat aku memberikan senyuman kepada Uncle Tam.
“Baik, tuan muda. Tolong jaga diri.” Ucap Uncle Tam memberi peringatan.
Harry sekadar mengangguk sekali dan Uncle Tam terus menaikkan cermin kereta.
“Nak buat apa kat sini?” Soalku apabila kami sudah keluar dari kereta panjang itu.
“Aku nak lelong kau kat sini.” Harry terus melangkah dengan selamba.
Lelaki ni! Aku merenungnya dengan geram. Kalau beritahu awal-awal... taklah aku pakai selekeh macam ni! Bedebah!
Aku dapat merasakan aku diperhatikan dari atas ke bawah oleh pengunjung-pengunjung lain di pasaraya mewah itu. Mana tidaknya, aku hanya memakai T-shirt dan seluar track. Kasut selipar jepun pulak tu! sakitnya hati aku...
“Kau suka pakaian dalam yang macam mana?” Soalnya selamba.
Mukaku terus berubah kering. Err! Dia ni... manusiakah?!
“Yang ni, okey?” Harry menunjukkan salah satu baju dalam yang berwarna pink di sebuah butik.
“Awak ni...” Aku menarik nafas. “Sangat keji!!!” Aku menjerit. Tidak kupedulikan mata-mata yang memandang.
Harry hanya tersenyum tanpa perasaan. “Kalau tak suka janganlah menjerit!” Balasnya.
Aku makin tidak tahan dengan lelaki ini! Anak kacukan orang planet Pluto ke?! Beku semacam aje aku tengok. Tak ada perasaan!
Dia menarikku ke dalam butik yang lain. Kini butik mewah yang menjual gaun dan dress untuk majlis makan malam dan sebagainya. Aku mula teruja melihat pakaian-pakaian di situ. Semuanya cantik-cantik dan glamor!
May I help you, sir?” Tegur salah seorang pekerja butik itu dengan ramah.
“Emm... tolong cari baju dinner yang sesuai untuk badut ni.” Harry menolakku ke depan. Sempat aku menjeling marah kepadanya. Kalau aku badut kau tu apa?! Singa jadian mulut busuk!
“Oh...” Pekerja wanita itu tersenyum. “Your girlfriend is so cute. Banyak baju yang sesuai untuk dia. Come with me, miss!” Pekerja itu menarik tanganku.
Puas aku mencuba baju itu dan ini. Semuanya tak menepati citarasanya. Akhirnya aku keletihan. Jin ni ingat aku anak patung dia ke?!
“Saya dah penatlah!” Aku melepaskan keluhan. Bahuku turut terasa lenguh.
“Tolong cari baju yang warnanya tak cerah sangat dan tak terlalu gelap.” Arah Harry kepada pekerja itu lagi. Mujurlah pekerja butik ini semuanya profesional dalam menangani pelanggan seperti si bongkak yang cerewet ni!
“Kulit kau ni...” Harry mencapai lengan aku. “Kau ni perempuan ke apa? Kulit pun kering, kejap lagi kita pergi spa!” Kutuk Harry. Berdesing telinga aku dibuatnya.
Haisshh! Memanglah aku ni tak pandai jaga kulit! Tapi, takkanlah boleh meragui jantina aku kut! Sabar... aku menarik nafas dalam-dalam. Tanpa aku sedari darahku semakin mendidih.
“Rambut pun macam sarang tebuan!” Kutuknya lagi sambil menarik rambut aku pula.
Hatiku semakin panas! Rambut aku mana ada macam sarang tebuan. Walaupun, memanglah tak lembut sangat. Suka berhiperbola sungguh lelaki ini. Teruskan bersabar... aku menggenggam tangan.
“Lansung tak ada ciri-ciri perempuan! Buat malu kaum.”
“Hey!! Apa masalah awak ni, hah!!” aku akhirnya bangun berdiri dengan bingkas. Tahap kesabaranku sudah sampai penghujungnya. Cermat sikit... aku perempuan melayu terakhir kut!
“Masalah aku tak boleh tengok perempuan tak semenggah macam kau ni!”
Aku mencekak pinggang. “Siapa suruh awak pilih saya jadi kekasih awak. Banyak lagi perempuan cantik kat luar sana tu!”
“Sebab dia orang tu semua tak lembap macam kau! Dah... cuba baju ni!” Harry menarik baju dari tangan pekerja yang baru sahaja tiba di depan fitting room itu dan mencampaknya kepadaku. Pekerja itu terpinga-pinga melihat pertelagahan kami hanya terdiam dan berdiri kaku.
Aku berdengus. Kalau bukan kerana hendak menjaga air muka tuan muda di depan aku ini, sudah lama aku mencekiknya di depan pekerja-pekerja butik yang seramai lima orang itu.
Aku masuk ke dalam fitting room sambil mulutku menyumpah seranah lelaki itu di dalam hati. Semakin hari makin aku geram dengan sikapnya yang pelik itu. Tapi, aku tidak mampu membencinya.
Aku menyarung gaun malam itu di badanku. Warna ungu cerah, labuh sehingga paras lutut dan bahagian dada pula terdedah.
Hah! Seksinya!
“Dah siap ke belum?” Soal Harry dari luar.
“Be... belum!” Aku cuba mencapai baju T-shirtku untuk menutup bahagian terdedah itu namun bahagian tangan pula yang tidak boleh cover. Gaun tanpa lengan itu kali pertama aku memakainya. Hish! Gila ke nak pakai macam ni! Kalau ayah aku tengok confirm terlentang. Sekali dengan akulah yang terlentang tu.
“Nak tukar baju pun lembap!”
Aku menggenggam penumbuk! Mulut busuk betullah lelaki ni! Selang beberapa saat aku menghampiri pintu.
“Awak... boleh carikan selendang? Atau... saya tak akan keluar pakai baju ni.”
Harry yang duduk di kerusi itu lantas bangun. “What's wrong?” Soal Harry kembali.
“Tak... tak sesuailah...” Aku menjawab dengan tergagap-gagap.
Sorry, sir. Baju itu seksi sikit... tanpa lengan.” Beritahu pekerja itu kepada Harry.
Girlfriend saya tu... perempuan melayu. Tolong cari baju yang sesuai.” Arah Harry lagi. Wajahnya berubah kini.
I’m sorry, sir. Baju kat sini... semuanya macam ni.” Jawab wanita itu teragak-agak.
Harry mengeluh. Aku pula hanya menggigit bibir. Apa nak buat?!

KAMI berjalan keluar dari butik itu dengan hampa. Harry berwajah serius menandakan dia tidak berpuas hati. Aku baru perasan Harry suka berjalan sambil tangannya dimasukkan dalam saku seluar. Sungguh bergaya dengan tubuh badan seorang atlet dan memiliki ketinggian remaja-remaja mat salleh. Sama jugalah seperti Ray dan Sam, tidak dapat aku bayangkan apabila mereka dewasa kelak.
“Maafkan saya, awak. Saya... tak biasa pakai macam tu.”
“Aku pun tak suruh kau pakai. Kau ingat aku boleh terima lelaki lain pandang tubuh kekasih aku dengan percuma!” Harry melangkah lebih luas ke hadapan.
Aku berdiri di situ. Harry... rupanya, awak ni taklah seburuk mana. Tapi, kenapa ayatnya lain macam. Seperti... aku ni benar-benar kekasihnya. Lantas aku mengetuk kepala aku sendiri. Kau jangan start berangan!
Selepas ke spa Harry membawaku ke saloon rambut. Rambutku dipotong sedikit bahagian hujung yang sudah rosak. Setelah selesai membuat rawatan rambut Harry menilik aku dari atas ke bawah.
“Barulah... nampak macam orang sikit.”
“Sebelum ni saya nampak macam makhluk asing ke?” Soalku tak puas hati.
“Lebih teruk dari tu!” Balasnya.
Aku ternganga tidak percaya. Mulut dia ni... memang tak boleh control ke?!!!!
Selepas membuat pembayaran menggunakan credit card, Harry menarikku ke butik pakaian lain pula. Tercungap-cungap aku dibuatnya.
Gaun yang ini agak cantik. Berlengan panjang dan labuh sehingga paras betis. Aku agak tertarik malah warnanya hijau lembut yang menambah minatku.
“Ini kain yang paling berkualiti. Sukar di cari kat Malaysia.” Beritahu seorang pekerja butik itu apabila menyedari aku begitu asyik memandang gaun itu.
Aku hanya tersengih. Mesti mahal ni. Mak datuk! Empat angka kot! Aku menelan liur yang terasa kering.
It’s okay.” Ujarku tersenyum kelat apabila melihat harga baju itu. Perlahan-lahan aku mengundur dan tidak kuduga badanku terlanggar dengan Harry dari arah belakang.
Harry terus memegang kedua bahuku sambil tersenyum kepada pekerja itu.
“Saya angkat gaun tu.”
Aku membeliakkan mataku. Biar benar lelaki ini.
“Tapi...”
It’s okay, dear.” Harry sengaja berlagak romantik. Pekerja itu yang tersenyum-senyum lantas mengangguk.
*********
MALAM sudah menjelma tatkala kami sampai di asrama. Pemandu peribadi Harry kelihatan serius sambil membincangkan sesuatu dengan kekasih palsuku itu. Aku menunggu di luar kereta. Manakala Harry masih berbual dengan pemandunya itu. Kemudian, barulah lelaki itu keluar dan memandangku dengan hairan. Manakala, kereta mewah milik keluarga Harry itu terus meninggalkan kawasan Sekolah Tinggi Adam Taylor.
“Kau tunggu aku ke?” Soalnya.
Habis tu? Eh... betul juga. Kenapa aku tak balik asrama seorang diri aje.
Aku tersenyum menutup malu. “Saja nak berjalan dengan awak. Kita kan couple!
Harry  ketawa sinis. “Dapat baju beribu-ribu terus mengaku jadi couple.”
Aku mengecilkan mata merenungnya. “Awak yang beli bukan saya yang nak!” Dengan rasa bengang aku menapak meninggalkannya di belakang.
 “Weh, perempuan lembap! Kau ingat aku khadam kau ke nak bawak semua barang-barang kau ni!”
Aku berhenti melangkah dan menoleh dengan wajahku yang ternyata penuh geram. Lelaki itu dengan selamba datang dan meletakkan semua beg-beg shopping itu di atas tanganku.
“Cepat jalan.” Arahnya sambil berjalan mendahului aku dengan kedua belah tangannya dimasukkan dalam poket seluar.
Wah... wah... aku benar-benar sudah menjadi hambanya! Mana tidaknya barang-barangnya pun aku yang kena angkat juga! Haishh!
**********
KADANG-KADANG aku terfikir, siapakah gadis yang sebenarnya Harry suka itu? Kenapa lelaki itu tidak mahu mengakuinya sehingga memaksa aku menjadi kekasih bonekanya. Ya, kekasih boneka mungkin lebih sesuai dari gelaran kekasih palsu! Aku pula menjadi hambanya walaupun kes hamba sahaya ini sudah ditelan zaman. Tapi, pada zaman ini akulah hamba abdi yang paling nyata sekali wujud di... sekolah yang paling elit pula tu!
            Aku akan pastikan perkara ini tidak akan berlanjutan. Selepas sebulan aku akan bebas. Dan aku tidak rasa yang lelaki keji itu akan menyimpan aku lama-lama. Erk! Bukan menyimpanlah! Maksud aku dia tentu akan lepaskan aku bila tiba masanya nanti. Sebenarnya... hari ini adalah... first date aku dengan lelaki! Arrggghhh! Kenapa dialah orang pertama tu! Aku selalu impikan first date yang paling indah, berjalan di taman sambil makan ais krim. Bertukar senyuman dengan penuh perasaan cinta yang berbunga-bunga. Semuanya indah belaka! Tapi... si keji itu dah merosakkan first date aku!
            ‘Kau lebih teruk dari makhluk asing!!’
            Hah, dari mana suara tu datang?! Adakah ini mimpi burukkk?!!!
            Aku meniarap atas katil dengan wajahku disembamkan di bantal. Aahhh! Memang betul-betul mimpi buruk! Suara ejekan lelaki keji itu seperti tidak henti-henti menghantui aku. Kenapa? Kenapa? Dan kenapa??? Kenapa mesti aku lalui first date yang sangat mengerikan?!
            ‘Cik, pastikan semua daki-daki dari badan dia keluar sampai betul-betul bersih!’
            Arggghhh!! Kenapa datang lagi suara menjengkelkan itu?!!
            Aku lantas bangun dan duduk di atas katil dalam keadaan bersila. Aku mengambil kedua biji bantal dan menekup telinga. Pergi jauh-jauh!!!
            ‘Rambut yang macam dawai ni pun tergamak nak simpan lagi ke. Boleh buat tali ampaian kat asrama.’
            Arrgghhh!!!! Dia ingat aku ni kucing kurap yang dia kutip kat tepi jalan ke??!!!!
            Aku baling kedua biji bantal itu jatuh dari katil! Namun, aku masih tidak berpuas hati. Aku ambil bantal itu kembali. Dan aku memikirkan apa aku harus lakukan supaya hatiku boleh kembali tenang. Akhirnya aku mencapai tali kasut sekolah dan menyambungnya. Kemudian, aku mengikat bantal itu di tiang katil yang tinggi.
            “Tadi di spa dengan saloon tu aku tak boleh mengamuk. Sekarang rasakanlah!!”
            Aku menumbuk bantal itu bertubi-tubi. Kemudian aku menendang. Sehingga bantal itu pecah dan berterbangan isi-isi perutnya memenuhi ruang bilikku pada malam itu.
            Aku terduduk di lantai. Puasnya hati aku... seolah-olah aku telah merobek perut singa jadian itu sehingga terburai!
**********
HARI SABTU! Permulaan hujung minggu yang aku tidak pasti bagaimana kesudahannya. Aku hanya mampu berdoa supaya hari ini berjalan dengan baik. Aku melangkah menuju ke perpustakaan, tugas pertamaku pagi ini mengemas perpustakaan di asrama.
“Pagi, Cik Aya!”
Aku mendongak ke atas dan melihat seorang warga asrama ini menyapaku dengan senyuman manis. Kami berselisih di anak tangga. Dia berjalan turun manakala aku ingin naik ke atas. Tingkat 6.
“Pagi, Will.” Aku membalas. Wajahku diceriakan.
“Cik Aya nampak bersemangat hari ini.” Will menuruni anak tangga dengan hati-hati. Di tangannya terdapat sebuah kotak sederhana besar.
“Mestilah... sebab banyak senaman. So, badan jadi sihat.” Aku tersengih tanpa menjelaskan ‘senaman’ yang macam mana kepada William. Lelaki itu sebaya denganku.
“Wow, sound interesting! Aya guna gim kat asrama ni ke?  Ada orang ganggu tak?” Soal Will agak prihatin. Kami tidak meneruskan langkah, berbual sebentar di tangga itu.
“Er... asrama ni ada gim ke?” Aku menyoal. Sungguh, aku tidak tahu.
“Kenapa pula tak ada. Tapi, selalu full.”
“Owh... saya bersenam dalam bilik aje.” Ujarku. Tersenyum.
“I see... ini pun kira bersenam jugaklah kan, tak guna lif untuk naik atas.” Will tersenyum ramah.
“Betul...” Aku mengangguk. Agak kekok bersembang dengan Will berbanding yang lain. Walaupun lelaki ini kelihatan sangat peramah.
“Aya, I’ve got to go now. Ada persiapan terakhir untuk event esok.”
“Okey.” Aku mengangguk lagi. Lalu Will terus melangkah turun.
Aku mengeluh. Esok?! Esok majlis itu berlangsung. Macam mana aku akan harunginya?!
Tatkala seluruh warga Putera Emas riuh rendah dengan pelbagai persiapan untuk majlis esok. Aku pula keresahan seorang diri. Aku turun ke dewan makan untuk mengisi perut yang kosong. Sejak pagi tadi aku tidak makan apa-apa. Dari jauh aku lihat Kak Siti sibuk dengan persiapan. Dengar cerita chef-chef dari dewan makan Asrama Putera Emas akan menguruskan makanan untuk majlis malam esok.
Aku mengambil makanan dan duduk di meja bulat tempat biasa aku duduk selama ini. Berhampiran dengan air terjun buatan sebagai penyeri landskap menyejukkan mataku. Kak Siti menghampiri aku dan duduk dengan segelas air oren di tangan. Ingin berehat barangkali. Aku tersenyum kepadanya sambil menyuap nasi lauk ikan salmon. Heh, mati hidup balik aku tak jumpa makanan macam ni kat kantin sekolah aku! Jadi, selera aku memang betul-betul terbuka. Datanglah tsunami pun, belum tentu aku akan berhenti menyuap lauk ini. Ehem! Sebenarnya inilah kali pertama aku makan benda alah ni. Tiba-tiba teringat pula ayah dan adik-adik. Macam mana makan minum mereka sekarang ini?
“Selera nampak. Sedap, eh?” Soal Kak Siti yang tersenyum kambing kepadaku.
“Sedap, kak! Lauk ni memang ada setiap minggu, eh?”
“Tak jugak... ikut permintaan tuan-tuan muda kita tulah. Minggu ni ramai yang order nak makan Salmon masak tiga rasa.” Ujar Kak Siti. Air oren disedut sehingga habis separuh.
Aku mengangguk. “Putera Emas ni... lagi sesuai kalau namakan Anak Emas, kan?” Aku ketawa.
“Betul tu betul! Dia orang memang anak emas pengetua. Tambah-tambah si presiden tu... apa yang dia cakap semua pengetua ikut. Hairan betul!”
“Dia tu ada ilmu kut.” Aku memperlahankan suara. “Ilmu pengasih. Kekeke!”
Kak Siti turut ketawa besar mendengar kata-kataku. “Kalau dia buat macam tu, sudah tentu Aya pun terjatuh kasih kat dia!”
Aku berhenti ketawa serta merta. Terbantut juga suapanku. Ikan Salmon yang masih tinggal separuh itu tiba-tiba ternampak macam ikan tamban!
“Tak lalu nak makan saya dibuatnya Kak Siti ni,” Aku memuncung. Tidak enak didengar gurauan wanita itu sebentar tadi.
“Akak melawak aje. Kalau betul pun okey apa. Kamu tak tahu Aya, setiap kali dia pergi latihan renang. Hah, berderet pelajar perempuan intai dia kat tepi-tepi kolam tu. Sampai pengetua buat satu kolam renang peribadi untuk dia. Kat situ tak ada sesiapa boleh masuk. Harry memang sukakan privasi.”
Aku membeliakkan mata. “Wah... tu dah melampau tu!”
“Nak buat macam mana. Anak emas pengetua!”
Ketika itu aku terpandang ke arah pintu masuk dewan makan yang gah itu. Lima orang pelajar perempuan Sekolah Tinggi Adam Taylor berjalan dengan langkah bergaya menuju ke arah kami. Langkah mereka seperti model di pentas runway, sungguh anggun dan cantik walaupun hanya berseragam sekolah. Skirt pendek paras lutut dengan stoking panjang, gaya rambut yang sangat menawan mampu membuatkan aku ternganga. Beberapa pelajar lelaki yang sedang menjamu selera turut memerhati sekumpulan pelajar perempuan itu tanpa berkelip.
            Kak Siti bangun berdiri sambil membetulkan bajunya dan tudungnya supaya tampak kemas. Aku turut bangun berdiri namun agak ke belakang.
            “Selamat tengah hari, Puan Penyelia.” Sapa salah seorang dari mereka. Rambutnya perang asli menandakan dia bukan melayu.
            “Selamat tengah hari, cik muda.” Balas Kak Siti ceria.
            “Kami... dari Persatuan Pelajar.” Beritahunya dengan serius.
            “Ya, apa yang boleh saya bantu cik muda sekalian?”
            “Kami ingin pastikan, segala persiapan untuk makanan majlis esok tidak ada apa-apa masalah.”
            “Baik... mari kita ke dalam.” Pelawa Kak Siti dengan penuh hormat. Mereka mengikuti Kak Siti tanpa memandang ke arahku walau sekilas!
            Wah! Anggun tetapi sombong! Patutlah auranya kuat semacam. Dari Persatuan Pelajar rupanya!
**********
            “DENGAR kata... Presiden Harry akan perkenalkan kekasihnya kat majlis tu esok.”
            “Cerita tu dah tersebar luas. Bekas presiden yang mencabarnya. Kasihan betul kat Cik Sallyna. Siapa pun perempuan tu... dia telah merampas Putera Harry dari tangan Cik Sally.”
            “Siapa yang tak mahu menjadi kekasih lelaki yang paling kacak kat sekolah ni.”
            “Tak ada wanita yang lebih hebat dan cantik dari Cik Sallyna di sekolah ini. Mustahil perempuan tu budak sekolah kita.”
            “Walau siapa pun dia... dia pasti akan menanggung akibat kerana menjadi punca bekas presiden meletak jawatan.”
            “Presiden Harry pasti akan melindunginya walau apa pun cara...”
            “Apa kau cakap ni! Kau menyebelahi si perampas tu ke?!
            “Bukan macam tu... tapi, aku tidak sabar untuk lihat perempuan tu. Kau pun tahu kan, Presiden Harry tak pernah membawa pasangan ke majlis tu setiap tahun. Dia hanya datang beri ucapan dan minum selepas tu terus balik! Kadang-kadang... sampai orang terfikir. Dia tu tak normal, sukakan lelaki.”
            Aku menelan liur sambil mendengar gelak ketawa dua orang wakil dari Persatuan Pelajar itu di dewan makan. Tinggal mereka berdua berbual di ruang santapan manakala tiga lagi rakan mereka masuk ke dalam dapur untuk membuat pemantauan. Hatiku terus libang-libu apabila mendengar perbualan dua orang pelajar itu yang sedang duduk di meja berdekatan denganku. Aku yang sudah berkira-kira untuk mengangkat pinggan ke belakang, tidak meneruskan niat kerana tertarik untuk mendengar perbualan mereka walaupun yang sakit hatinya... aku juga!
            Sekejap! Harry sukakan lelaki?! Tiba-tiba ayat itu bermain di kepalaku apabila mendengar kata-kata dari kedua ahli Persatuan Pelajar tersebut sebentar tadi. Apakah... Harry benar-benar sukakan lelaki? Dan dia ingin mengaburi mata orang lain... dengan menyuruhku menjadi kekasih palsunya? Oh Tidak! Adakah ini benar?!
Aku pulang ke asrama petang itu dengan kepalaku penuh dengan masalah. Ahh! Aku mengeluh lantas membaling tubuhku ke atas katil apabila tiba di bilik. Lelaki menjengkelkan tu... bagaimana rupanya yang sebenar ya?! Selagi segala persoalan ini tidak terjawab. Aku tidak boleh tidur lena!
            Tetapi dek kerana terlampau letih, mataku terpejam juga.
**********
            MALAM itu aku terasa ingin mengambil angin di atas bumbung asrama. Kakiku perlahan menapak ke tangga sehingga ke tingkat enam. Walaupun asrama ini ada menyediakan kemudahan lif, aku selalu menggunakan tangga. Risau jika tiba-tiba aku memasuki lif, ada pelajar lelaki dalam itu. Dan aku seorang perempuan, bukankah aku seperti membuka saji untuk kucing? Betul ke peribahasa tu? Apa-apa ajelah!
 Aku perlu memanjat tangga lagi untuk ke atas bumbung yang rata. Apabila tiba di atas itu, aku membuka pintu yang tidak pernah dikunci. Setelah pintu dibuka aku dapat melihat kawasan atas bumbung yang sangat luas. Kali pertama aku datang sini, beberapa hari yang lalu. Saat aku bertemu dengan presiden. Tidak mungkin aku lupa.
            Kawasan atas bumbung itu dikelilingi dengan tembok yang dipasang pagar-pagar besi berjeriji untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Aku menghampiri tembok. Tanganku memegang pagar itu sambil membuang pandangan melihat panorama malam kawasan Adam Taylor yang disimbah dengan cahaya lampu merata-rata.
            “Jauh termenung.” Tegur satu suara dari belakang.
Aku tersentak namun serentak itu juga aku menoleh. Kemudian, aku tersenyum lega.
“Senior...” Aku melemparkan senyuman kepadanya. Sudah beberapa hari aku tidak bertemu dengan lelaki ini memandangkan dia sangat sibuk menguruskan persiapan untuk majlis esok hari.
“Tak elok seorang gadis datang tempat macam ni seorang diri, waktu malam pula tu.” Ray turut berdiri di tepi tembok. Dia menyandar badannya yang lampai itu sambil memeluk tubuh.
Aku tersenyum dalam hati. Aku juga orang sedar aku ni seorang gadis!
“Saja ambil angin...”
Ray ketawa kecil. Aku mengerut dahi kehairanan. Sekali lagi... aku buat lawak ke?
“Cik Aya memang macam ni ye? Suka melarikan diri kat tempat bahaya untuk ambil angin.” Ray berhenti ketawa. Kali ini dia tersenyum pula. “Tapi, bagus jugaklah. Saya boleh sentiasa jadi penyelamat. Bila lagi nak jadi hero. Nak berlakon filem tak laku pulak nanti.”
Kini, giliran aku pula yang ketawa. Lelaki ini... sungguh menghiburkan. 
 “Macam mana tahu saya ada kat atas ni?” Aku mengubah topik perbualan. Rasa segan pula apabila mata lelaki itu seperti merenungku dalam-dalam.
“Tadi... saya kat bilik junior. Ternampak awak naik tangga ke arah bumbung. Jadi, saya ikutlah.”
Aku tersenyum lagi. Tiba-tiba masing-masing menyepi. Hanya angin malam yang sejuk menghembus dengan lembut.
“Aya sejuk?” Soal Ray sambil menanggalkan jaketnya.
“Eh... tak!” Aku meningkah. Walaupun agak sejuk, tapi aku rasa segan pula bila...
“Jangan panik...” Ray terus membalut tubuhku dengan jaketnya. Bau haruman terbit dari jaket itu menenangkan jiwa aku yang kacau.
“Terima kasih...” Hanya itu yang mampu aku ucap apabila melihat Ray kembali memeluk tubuh sambil menyandar di tembok.
“Senior...” aku mengetap bibir. Menanti reaksinya.
“Ya.”
“Boleh tak janji dengan saya.” Aku merenungnya.
Ray hanya mengangguk dengan senyuman yang tidak pernah lekang.
“Selepas ni... walau apa pun terjadi... boleh tak... kita sentiasa macam ni.” Luahku satu-satu. Aku menunduk. Malu untuk menentang matanya yang redup itu.
“Lepas ni? Macam mana tu?” Ray mengecilkan matanya menghantar pertanyaan.
Aku mula terasa gelabah. Keyakinanku terus runtuh. Mujurlah bangunan ini masih kukuh kalau tidak sudah tentu sekali dengan aku terjunam ke bawah.
“Er...” Aku sedikit gelisah.
‘Selepas saya jadi kekasih orang lain...’ Aku menelan liur kerana tidak mampu mengucapkan ayat itu keluar.
Ray yang menyedari kegelisahanku terus meletakkan tangannya di bahuku. Kemudian, dia bersuara...
“Saya tak pernah akan berubah... dan tak mungkin akan berubah. Walaupun apa pun terjadi. Janji.” Luahnya dengan yakin.
Aku tersenyum dengan gembira. “Terima kasih, Senior Ray!”
Ray mengangguk. “Fighting!” Ray menjulang penumbuk ke atas. Penuh semangat.
Aku sekali lagi ketawa melihat telatahnya. “Ya... chaiyok!  Aku turut bereaksi sepertinya. Malam ini sungguh indah! Aku hampir melupakan semua masalahku.
Senior Ray... senyuman awak... selalu buat saya tenang. Terima kasih!
“Saya ada hadiah nak bagi kat awak...” Ujarnya kemudian.
Aku mengawal rasa terujaku dengan berlagak selamba. “Yake... kali ini nak suruh saya jadi posmen kat siapa pula?!” sengaja aku memprovoknya.
Ray ketawa lagi. Kemudian dia mengeluarkan sehelai tiket dari saku seluarnya.
“Sudi tak... Cik Aya jadi pasangan saya ke majlis tari-menari tahunan?”
Aku melopong terkejut. Ray masih tersenyum dan merenungku sambil menanti jawapan. Tiket itu juga di layang depan mukaku. Erk! Kenapa boleh jadi macam ni pula, ke dia tengah praktis berlakon? Atau aku tengah mengigau?!
“Janganlah buat muka cuak macam tu Cik Aya. Gabra saya dibuatnya.” Ray tersengih kecil menampakkan barisan giginya yang putih.
“Senior.... sa... saya...” Aku gugup. Aduh... macam mana ni??!
“Kau dah terlambat Ray...”
Hah! Aku dan Ray serentak menoleh ke arah pintu di atas bumbung asrama itu.
Dan... aku hanya mampu menelan liur. Alamakkkkkkk!!!!
**********


No comments:

Post a Comment