Tuesday, 25 September 2012

Gambaran disebalik Putera Impian Di Dubai Part 1


Welcome to Dubai Ainul Umairah~~

Dubai-Pak Arab memang suka guna duit bina bangunan unik2.

Burj Khalifa-Bangunan tertinggi di Dunia.


Amazing-Bangunan berputar, ni masa pelancaran dia.

Sheikh Zayed Road-Perjalanan ke The Atlantis Condominium.

Emirates Mall-Kunjungan pertama Umairah bersama Rizal dan Amira. Mall ini antara yg terbesar dan termewah di dunia.

Pak2 Arab yang kaya-raya..

Kat bawah- Suasana di Valet Parking Emirates Mall. Memang xde keta Honda,BMW or Merc biasa. Kebanyakannya Ferrari, Lamborghini, Porsche and so on... Ada byk lg pic keta2 mewah kt sini, tp xleh upload semua, jd kes lain plak nti hehe (mmg sy peminat kete sport, minat je laaa)..hahahahha

Audi- kira yg habis biasa kat Emirates Mall.

Ferrari FF- Adoiilaaaa~~~klu sy kt sini mmg x de keje la. usyar kereta2 ni je sampai balik~~

Lamborghini Aventador pun ada!!! pengsan~~~nampak x pak arab kt belakang tu tgh tunggu keta dorang. Nampak je pakai jubah tapi....hehe..see the car lah...



Buggati Veyron- Kereta no 2 paling mahal di dunia. Klu mcm ni sy x sanggup nk pijak Emirates Mall. huhu

Ini dia pemilik kereta itu. Anak Pak Arab yg suka kereta2 mahal yg menunjukkan status mereka yg elit tu..huhu..Bukan omputih punya keta, tp dorang sendiri. huhu. Ehh..mcm Airel Zayed ke tu?? :p

 Ski Dubai- mcm mana la negara padang pasir boleh ada ski mcm ni kan..huhu. Tp ni dlm Emirates Mall, Memang menakjubkan.


Teringinya nak pergi..huhu. Kat sini tempat lepak Umairah,Rizal n Mira.

Lepas ke Emiratas Mall Rizal bawa dorang lepak kat pantai Jumeriah sambil menikmati pandangan Burj Al Arab. Airel masa ni kat dalam tu..hehe..bleh bayang x????


Interior Burj Al Arab 7 Star Hotel-Hanya individu tertentu aje boleh masuk.
Royal Suite Burj Al Arab


Sambungannya di Part 2~ Bila Airel akan bertemu Umairah Di Jumeriah Beach!!

Monday, 24 September 2012

Gambaran di sebalik Putera Impian part 2

Pertemuan... walaupun Maira tidak dapat menentang mata sang arjuna hati di sini..tetapi, salam pertemuan disaksikan Burj Al Arab yang gah di Pantai Jumeriah.. :"Airel... di mana awak?!"

Lepas g usyar Umairah kat Jumeriah Beach..Airel g melawat neneknya di World Island. Comel je pulau tempat nenek dia tinggal nie..hehe..


Ni bentuk World Island Dubai dr atas awan..Projek gila2 dr kerajaan Dubai yg kaya-raya tu..

Restaurant kat Dubai Marina-tempat kegemaran Rizal, Mira dan Umairah. Kat sini juga Airel mengintip isterinya itu..huhu..


Dubai Marina Kondo- Rizal tinggal kat sini~~

Palm Jumeriah-Pulau buatan tercantik di dunia, bentuk mcm pokok kelapa sawit kan?

Inilah perumahan mewah Airel di pulau buatan Palm Jumeriah~~

Terima kasih kerana pernah berkongsi hidup bersamaku Umairah.... dan ini adalah mahligai untuk mu...-Airel Zayed
Ruang tamu rumah Airel-tempat perbalahan besar setelah pertemuan Di Mimar Tower
"Kenapa tak pernah beritahu saya tentang diri dan keluarga awak, Airel! Mana mungkin saya boleh masuk dalam keluarga Bangsawan Dubai. Saya bukan sesiapa...."


Lamborghini Sesto Elemento- Kereta Airel yg di cakar oleh Umairah. Memang padan muka.

Dah dapat bayang sikit2 kan suasana dalam cerita Putera Impian??? hehe...selamat membaca~~



Saturday, 15 September 2012

Kekasih Palsu 13, 14



BAB 13
SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah aku langsung tidak boleh bernafas dengan teratur. Dadaku benar-benar sesak! Setelah aku turun dari bas, aku berjalan kaki memasuki kawasan perumahan Delta Melur. Aku mengatur langkah dengan perlahan-lahan, setiba di sebuah taman permainan yang berada tidak jauh dari rumahku, aku terus singgah di situ.
            Hari semakin senja.  Kanak-kanak sudah mula pulang ke rumah masing-masing. Aku duduk di sebuah buaian. Melihat langit yang semakin kemerahan. Burung-burung pun sibuk dan bersimpang-siur berterbangan untuk pulang ke sarang. Aku menunduk melihat tanah pula. Ketika itulah satu keluhan meniti di bibirku.
            “Saya rasa... saya dah mula sukakan awak, Cik Aya!”
            “Apa senior cakap ni?”
            “Saya cuba untuk lepaskan Aya, bila tahu Aya milik orang lain. Tetapi... saya sebenarnya telah menipu diri sendiri.”
            “Tapi... sejak bila?” Aku terasa bibirku turut bergetar apabila menyoalnya begitu.
            Ray menelan liur. Dia berundur setapak lalu memusiang badannya menghadap tingkap. “Sejak... sejak saya relakan diri jadi pelindung Aya.”
 Lama juga aku terpaku di situ apabila mendengar luahannya. Sekarang apa aku nak buat?!! Akhirnya aku bangun dari buaian setelah lama mengelamun. Dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah dengan fikiran yang sangat kusut! Senior Ray telah meluahkan perasaanya kepadaku. Aku rasa seperti bermimpi. Katanya-katanya terakhirnya masih terngiang-ngiang di mindaku.
            “Jika Harry menyakiti Aya... silalah datang kepada saya!”
**********
WELCOME back to school!!!” jerit beberapa pelajar lelaki yang sungguh ceria sambil melangkah masuk ke kelas.
            Aku turut menceriakan wajahku apabila di sapa oleh rakan-rakan yang hampir dua minggu tidak nampak muka. Masing-masing sibuk menceritakan pengalaman musim cuti mereka. Tidak kurang juga ada yang datang kelas dengan berjalan capik. Sah-sah terlibat dalam kemalangan. Macam-macam kerenah mereka langsung tidak membuat aku berminat untuk turut bercerita. Aku lebih banyak diam dan termenung. Fikiranku sejak semalam menjadi kusut. Sudahlah masalah Harry menjadi tanda tanya, Senior Ray pula sudah meluahkan perasaan.
            Apa perasaan aku bila dapat tahu perasaan sebenar Ray? Ahh.... apa boleh aku buat? Aku benar-benar buntu! Bukankah... wajah Senior Ray kelihatan sangat ikhlas? Aku pasti menyesal kalau... kalau sia-siakan dia. Tapi, bagaimana dengan Harry? Bukankah tempoh aku menyamar sebagai kekasihnya cuma sebulan? Ya... dan sudah pastilah, akan berakhir minggu ini! Bagus, nampaknya aku sudah nampak jalan penyelesaiannya.
            Aku, Rita dan Bella berjalan beriringan sambil ketawa riang ketika menuju ke perhentian bas. Ketika dalam kelas tadi kami tidak banyak peluang untuk bercerita kerana cikgu-cikgu sentiasa masuk tepat pada waktu dan memberi kami banyak latihan unruk hadapi ujian akan datang. Tamat waktu sekolah, pelbagai cerita dapat kami kongsi tentang pengalaman musim cuti yang sudah berlalu itu. Namun, aku tidak membuka cerita tentang Harry yang turut bersama aku pulang ke kampung. Sudah pastilah kecoh mereka akan bertanya itu dan ini.
            Rita mengambil peluang masa cuti itu untuk mengikuti kelas masakan Jepun di sebuah hotel tempat ibunya bekerja. Katanya, sangat seronok malah guru yang mengajar mereka orang Jepun sendiri. Aku sangat teruja mendengarnya. Rita telah mengisi masa cutinya dengan perkara berfaedah. Jika nak dibandingkan dengan aku...
            Bella juga tidak melepaskan peluang untuk bercerita. Dia dan keluarga pergi bercuti ke Bali selama seminggu. Sempat juga mereka ke Medan. Bella turut berikan kepada kami souvenir yang sangat comel dan unik. Aku dapat merasakan musim cuti akulah paling membosankan.
            “Tuan Muda Harry dan kawan-kawan dia pergi bercuti kat mana, Aya? Mesti pergi Eropah kan... mesti sangat seronok!” Soal Bella yang berjalan di sebelah kananku. Dia kelihatan sangat gembira. Mungkin mood bercuti itu masih ada dalam dirinya.
            “Senior Harry ada latihan untuk tournament. Yang lain tu mereka pergi perkhemahan, macam summer camp lah. Budak-budak lelaki takkanlah nak ikut family sangat, kan?” Jawabku dengan selamba. Cuba untuk menyembunyikan cerita sebenar.
            “Betul tu... lagipun keluarga mereka kebanyakannya orang business. Mana ada masa nak bercuti macam tu. Paling kasihan, mereka yang ibu bapanya tak ada kat Malaysia. Anak orang kaya ni, nampak aje hidup dia orang macam perfect kan? Tetapi hakikatnya tidak...” ucap Rita pula. Penuh berisi.
            Aku mengangguk setuju. “Kadang-kadang... mereka juga ingin menikmati hidup seperti orang-orang kelas sederhana. Masa tu, kita dapat tengok senyuman mereka yang sangat manis dan ceria. Seolah-olah mereka baru menikmati hidup...” ujarku sambil terbayang Harry ketika berada di kampungku. Macam mana sukanya dia apabila makan sambil duduk bersila dan menjamah ulam-ulam kampung. Dia kelihatan tidak kekok untuk makan makanan seperti itu malah dia sangat berselera. Dia juga sangat sukakan gulai rebung mak cik, malah sanggup turun untuk mencari rebung di belakang rumah dan bertarung dengan nyamuk dan pacat.
            “Aya!” panggil Bella dan Rita dengan serentak.
            Terkejut aku dibuatnya sehingga hampir melatah. “Terkejutlah, kenapa jerit macam tu!” marahku.
            “Kau berangan sampai ke mana? Kami bercakap pun tak dengar.” Balas Bella pula.
            “Iyake?” aku tersengih-sengih. Sedar akan kesilapan sendiri.
            Ketika itulah sebuah kereta mewah berhenti betul-betul di depan kami yang baru keluar dari pagar sekolah untuk ke perhentian bas. Aku bergerak ke belakang setapak diikuti Rita dan Bella. Aku mula rasa takut. Adakah mereka ini penculik yang selalu dilihat dalam filem? Aku tiba-tiba terasa bulu roma tercacak. Kepalaku mula terbayang macam-macam.
            Dua orang lelaki berkot kemas keluar dari kereta dan berdiri di depan kami. Aku menelan liur. Sempat juga aku menoleh ke kiri dan kanan melihat keadaan. Mujurlah ramai orang. Akan tetapi tumpuan mereka semua sudah tentulah kepada kami!
            “Cik Marhaya?” soal lelaki itu.
            Rita dan Bella serentak memandangku.
            “Kau kenal ke dia orang ni? Macam mafia aje?” Bisik Rita perlahan di telingaku.
            “Er... ya saya...” jawabku aku teragak-agak.
            “Sila ikut kami.” Pelawanya sambil membuka pintu belakang kereta itu.
            “Kamu ni siapa?” soal Bella dengan lantang. “Jangan berani nak buat sesuatu!”
            Kedua lelaki itu hanya tersenyum. “Maaf kerana lupa memperkenalkan diri. Kami berdua pengawal peribadi Tuan Adam Taylor, kami datang untuk menjemput Cik Marhaya ke Vila Taylor hari ini.” Kata salah seorang dari mereka.
            Rita dan Bella sangatlah terkejut. Aku pula terkebil-kebil di situ.
            “Tapi...”
            “Aya? Apa semua ni?” desak Rita ingin tahu.
            “Silakan...” sekali lagi lelaki bertubuh sasa itu menjemput aku masuk ke dalam kereta itu.
            “Bella, Rita. Nanti aku roger. Aku perlu ikut mereka sekarang.” Pesanku kepada kedua sahabatku itu sebelum melangkah masuk ke dalam kereta dengan berat hati.
            Rita dan Bella masih lagi bingung dan berdiri kaku di situ sehinggalah kereta itu bergerak meninggalkan sekolah.
            Berada dalam kereta mewah itu membuatkan aku sedikit gelisah. Berdebar-debar juga hati apabila mengingatkan pertemuan dengan majikan ayahku itu. Adakah aku akan diterima dengan baik dalam rumah itu? fikiranku mula kacau. Bagaimana aku akan hidup di rumah besar Tuan Adam yang dipenuhi maid-maid ala istana itu?
Pernah aku berkunjung ke rumah besar itu tahun lepas untuk menghantar barang kepada ayah. Aku hanya menunggu di luar kawasan rumah, tanah lapang yang dipenuhi rumput karpet. Belakang rumah itu pula terdapat pantai peribadi yang luas. Ketika itu aku duduk di sebuah meja bulat tidak jauh dari fountain yang bertingkat berbentuk bulat terletak betul-betul di hadapan pintu utama. Dari pandangan aku rumah itu benar-benar seperti istana Inggeris lama yang unik.
            Kali ini, aku sekali lagi memasuki kawasan vila itu dengan menaiki kereta mewah milik Sir Adam. Tidak banyak yang berubah, halamannya sangat luas dan jarak antara pintu masuk untuk ke rumah agam itu punyalah jauh. Kalau berjalan kaki boleh semput jugalah. Sepanjang jalan itu terdapat pelbagai bunga-bunga yang menghiasi kiri dan kanan jalan. Padang rumput juga besar seperti padang golf. Menghijau dan sejuk mata memandang, di situlah ada beberapa meja bulat berwarna putih yang menghasilkan suasana ala Inggeris yang sangat mengagumkan.
            Kereta itu akhirnya berhenti, kemudian pintu kereta dibuka dari luar. Aku rasa sangatlah segan. Mengapa aku dilayan seperti cik muda pula, sedangkan aku ini adalah orang biasa sahaja. Tidak layak rasanya diberi layanan seperti itu. Namun aku melangkah keluar juga dengan memberi senyuman hormat kepada lelaki yang membuka pintu untuk aku itu.
            “Selamat datang ke Vila Taylor.”
            Aku disambut oleh seorang wanita yang berseragam kemas dan berusia 40-an. Dia membawa aku masuk ke dalam rumah besar itu. Sungguh aku tidak percaya! Ruang dalamannya lebih cantik dari aku bayangkan. Beberapa potret besar keluarga ini tergantung di dinding. Tetapi, semuanya gambar ketika muda, dan cucunya masih kecil. Aku tersenyum. Comel betul!
            Aku dibawa ke ruang tamu utama yang terletak sebelah kanan dari pintu utama. Teragak-agak untuk melabuhkan punggung di atas sofa mahal itu. Aku menelan liur kerana masih tidak percaya yang aku akan tinggal di sini! Bau haruman lavender memenuhi ruang dan rasa sangat segar dan tenang. Aku hampir-hampir terasa mengantuk.
            “Cik Aya sila tunggu sebentar. Sekejap lagi ada orang akan datang bawakan pakaian untuk ditukar. Selepas ini Cik Aya akan dibawa ke taman untuk menikmati hidangan teh bersama tuan besar, Sir Adam.” Beritahu wanita itu dengan sopan. Kemudian dia meminta diri dan aku hanya mampu mengangguk dan mengangguk. Suara aku seperti sudah hilang ditelan perasaan teruja campur berdebar. Nanti! Apa? Minum teh? Ohh... mesti ada adat-adatnya. Aku... aku mana tahu menahu!
Sudah aku terbayang etika orang Jepun ketika majlis minum teh. Bersimpuh dengan memakai kimono. Sususan jari yang betul ketika memegang cawan teh dan cara menuangnya juga penuh dengan kesenian! Ahhh! Apa yang kau merepek ni Aya! Sir Adam bukannya orang Jepunlah! Fuhh... bertenang Aya, bertenang. Aku akhirnya rasa sangat letih dan sandarkan badanku di sofa. Entah kenapa mataku semakin memberat dan aku terus terlelap.
**********
            “CIK Aya...”
            Aku terasa badanku di gerak-gerakkan. Apa ni? Kacau betullah! Aku memalingkan tubuh dalam keadaan mataku masih terpejam. Kenapa sedap sangat tidur kali ini sampai mataku tidak mampu dibuka. Mimpi pun indah-indah belaka. Aku berlari-lari di ladang lavender yang luas, kiri dan kanan berwarna ungu. Cukup tenang dengan harumannya yang mampu membuat aku terasa di awang-awangan. Aku tersenyum sambil ketawa kecil dan berpusing-pusing sambil menikmati keindahan ladang itu.
            “Cantiknya... haha...”
            “Er... Cik Aya...”
            Aku membuka mata dengan serta merta. “Aku kat mana ni? Bukan ladang lavender ke?”
            Wanita itu ketawa kecil sambil menutup mulutnya. “Kat sini tak ada ladang lavender, tapi kita ada Rose Garden.”
            Aku baru tersedar yang aku sudah melalut dalam mimpi. Aku seraya bangun berdiri dengan terburu-buru sehingga kepala aku terasa berpusing. Pening!
            “Ma... maafkan saya.” Aku tersenyum menutup malu.
            “Saya Hanna. Saya pembantu di sini,” Wanita itu memperkenalkan diri. Dia masih muda dan aku kira dalam usia 20-an.
            “Kak Hanna.” Aku tersenyum sambil menyebut namanya.
            “Cik Aya boleh panggil saya Hanna aje.”
            “Kalau macam Hanna pun panggil saya Aya aje.”    
            Kemudian kami berdua ketawa setuju. Dia mempelawa aku untuk menaiki tangga menuju bilik di atas. Aku mengikut Hanna yang sangat cantik itu, dia memakai baju seragam berskirt labuh berwarna kelabu dan putih. Sangat comel!
            Pintu bilik dikuak. Aku membuntuti Hanna melangkah masuk ke dalam bilik. Sekali lagi aku kagum, bilik itu bercat putih dengan langsirnya berwarna lilac. Sekali lagi haruman lavender menusuk hidungku. Aku melangkah keluar ke balkoni.
            “Wahh...” aku benar-benar tidak percaya apa yang aku lihat ini.
            Hanna menghampiri aku dengan senyuman yang tidak pernah lekang.
            “Kami pilih bilik ini untuk Aya, kerana kami yakin Aya pasti akan suka dengan pemandangan ini. Ada bilik yang menghadap pantai. Ada bilik yang menghadap ke padang rumput yang menghijau, dan bilik ini... “
            Rose Garden...” aku menyambungnya dengan perlahan. Mataku masih tidak boleh beralih melihat taman bunga yang dipenuhi bunga ros pelbagai jenis dan warna. Sekali angin bertiup bau harumannya boleh aku hidu dari arah balkoni. Kelopak-kelopak ros itu berterbangan dan jatuh ke rumput yang hijau. Sungguh indah...
            “Baiklah... Cik Aya silakan masuk. Bersihkan diri dan sila pakai baju yang kami sudah sediakan.”
            Aku semakin tidak percaya. Rumah ini seperti syurga. Walaupun syurga itu indahnya tidak mungkin dapat digambarkan. Setelah kembali ke dalam bilik, aku mengambil tuala dari tangan Hanna. Wanita itu turut membuka pintu bilik mandi untuk aku. Dilayan seperti tuan puteri pula. Macam bermimpi aje!
            “Apa... apa ni?!” aku amat terkejut. Bilik air apa ni! Besar... malah lebih besar dari ruang tamu rumah aku. Siap ada jacuzzi yang... yang ditabur kelopak ros merah. Cahaya lilin aromaterapi juga memenuhi ruang dengan wangian semerbak. Seperti berada di spa! Aku boleh jadi gila macam ni! Tempat apa yang aku datang ni?
            Please make yourself comfortable, Miss Aya.” Hanna mengundur diri dengan tertib. Dia menutup pintu slide itu dengan perlahan.
            “Macam mana nak mandi ni?” keluhku lemah. Tak biasa aku nak mandi berendam macam tu. Macam kerbau kat kampung nenek aku aje. Berkubang dalam sawah. Haish!
            “Argghhh! Siksanyaaa...”
**********
BAB 14
            AKU keluar dari bilik dengan hanya bertuala sahaja. Perlahan-lahan aku melangkah menuju ke katil. Sehelai dress berwarna putih diletakkan di atas tilam. Juga ada sepasang kasut bertumit yang cantik mereka sediakan. Aku mengambil baju itu dan menilik. Cantiknya... macam inilah kehidupan cik muda yang belajar di Sekolah Tinggi Adam Taylor gamaknya. Mereka dilayan seperti tuan puteri dan segala keperluan disediakan. Tidak perlu bersusah payah seperti kami. Yang perlu bangun awal pagi untuk ke sekolah, sediakan baju, kasut sekolah dengan sendiri. Sarapan juga kena buat sendiri, keluar rumah kena kejar bas lagi kalau terlewat. Kalau hujan habis basah kuyup, balik dalam keadaan terketar-ketar kesejukan. Tetapi... itulah kehidupan namanya. Kan?
            Tanpa membuang masa aku terus bersiap ala kadar. Rambut dikeringkan dan aku hanya mengikat satu. Bedak di sapu nipis dan aku terus mencerminkan diri. “Go go fighting, Aya! Ingat... kau datang sini untuk meringankan beban keluarga. Jangan lupa, kau tak boleh jadi tuan puteri. Tapi, cubalah jadi cucu angkat yang terbaik untuk membalas jasa Tuan Adam.” aku cuba memberi motivasi kepada diri sendiri.
            Setelah yakin aku mampu bertenang dan tidak berdebar lagi. Aku membuka pintu bilik dan aku melihat Hanna sudah pun tunggu aku di depan bilik itu.
            “Maafkan saya kalau terlalu lama.” Ucapku dalam keadaan serba salah pula. Berapa lama agaknya Hanna menunggu aku?
            “Tak mengapa. Mari kita ke taman, Sir Adam menunggu di sana.”
            “Taman... taman bunga ros tadi ke?” soalku teruja sambil melangkah mengikuti Hanna.
            “Ya, taman tu sangat luas. Ia menjadi tempat kesukaan tuan besar untuk bersantai di waktu petang. Jika waktu pagi, Sir Adam akan mengambil angin di pantai. Taman itu dijaga rapi dan benih-benih ros semuanya dari baka yang terbaik. Sebab itulah... bunganya sangat harum dan segar bila mata memandang.” Jelas Hanna panjang lebar tentang taman itu.
            Aku mengangguk faham. Patutlah begitu ramai pekerja di rumah agam ini, terlalu banyak tempat yang memerlukan penjagaan rapi.
            “Sir Adam sangat sukakan keindahan semulajadi. Dia juga ada ladang teh di Cameron Highland, dan ladang lavender di UK. Rumah dia kat sana tu, tempat untuk mereka sekeluarga pergi holiday pada setiap kali musim bunga.”
            “Haa...” aku tidak mampu menutup mulut apabila mendengar kata-kata Hanna itu. Ladang lavender?! Ladang teh?! Mesti sangat... sangat indah! Seperti dalam mimpi aku. Wah... betul-betul satu kebetulan.
            Pemandangan di pintu masuk taman itu sangat cantik. Pintu gerbang yang dihiasi bunga ros berwarna-warni menyambut kedatangan kami. Juga tertulis di sebuah papan tanda yang terpasang di situ ‘Welcome to Rose Garden’. Aku tersenyum, Tuan Adam seorang pencinta bunga, walaupun dia seorang lelaki. Aku dapat merasakan dia pastilah seorang lelaki yang berhati lembut dan romantik.
            Sepanjang perjalanan untuk ke tempat pertemuan dengan Sir Adam itu, Hanna menceritakan serba sedikit tentang taman bunga ini. Dan aku dapat melihat pokok-pokok bunga ros berkembang dan memenuhi di sepanjang jalan itu.
            “Jika di Eropah suatu masa dahulu, bunga ros menjadi sangat penting untuk ditanam di kawasan taman larangan istana. Bunga ini melambangkan cinta, dan ia menjadi bunga yang sangat rapat dengan kaum wanita.” Hujah Hanna lagi. Wanita itu sangatlah ramah dan betah bercerita. Sehingga dengan mudah aku dapat menyesuaikan diri.
            “Kenapa Sir Adam bina taman ini? Mesti ada kisahnya kan?” aku cuba mengorek cerita di sebalik taman ini. Bukankah ros itu lambang cinta?!
            “Tepat sekali. Taman ini ada kisahnya... nanti Aya bolehlah tanya Sir Adam sendiri.” Hanna tidak menjawab soalanku itu. Ya, mungkin jika tuan punya taman yang bercerita pasti lebih penghayatan.
            “Kita dah sampai.” Ujarnya kemudian. Kami berhenti melangkah dan aku lihat ke hadapan.
            Seorang lelaki yang sudah berusia kelihatan masih gagah sedang melakukan latihan seni mempertahankan diri kendo. Dia menggunakan kayu atau pedang buluh yang dipanggil shinai. Hayunannya masih bertenaga dan cukup cekap setiap gerak-gerinya. Aku seperti tidak percaya. Lelaki itu juga memakai baju kimono jepun berwarna kelabu seolah-olah dia benar-benar seperti seorang samurai!
            Sir, she is here.” Tegur salah seorang pembantunya.
            Hanna menolak aku kehadapan dengan lembut. “Selamat menjamu teh.” Ucapnya dalam senyuman yang amat manis.
            “Oh...” Sir Adam segera menamatkan latihannya dan memandang aku tepat. Kemudian dia menyerahkan shinai itu kepada pembantunya dan bergerak mendekati aku yang berdiri di sebelah meja bulat berukiran Inggeris klasik.
            “Selamat datang, kamu apa khabar?” Sir Adam menghulurkan tangan kepadaku.
            Aku menyambutnya. “Alhamdulillah, baik.”
            “Mari kita duduk... silakan.” Sir Adam ketawa kecil. “Tak sangka, Malik ada seorang anak yang cantik. Atuk dengar kamu juga pelajar bijak kat sekolah.” Sir Adam turut duduk di hadapanku.
            “Terima kasih...” aku tersenyum tersipu-sipu. Aku melihat pula keadaan sekeliling. Sungguh nyaman dan segar.
            “Aya selesa di sini?” soalnya.
            “Ah...” aku yang terleka sebentar itu terkejut dengan tegurannya.
            “Ya... ya..” jawabku tergagap-gagap.
            “Anggaplah seperti rumah sendiri. Rumah ini dah lama sunyi, bila ada Aya dan cucu atuk yang seorang itu. Bolehlah kamu menceriakan rumah ini. Kalau tidak kelihatan seperti rumah berhantu pula, kan?” ujar Sir Adam sambil ketawa.
            “Eh, taklah. Rumah ni sangat cantik.” Pujiku dengan ikhlas. Sukar aku gambarkan keindahannya. Seperti kata Hanna, sudah seperti taman larangan istana di Eropah pula.
            “Macam inilah setiap petang, atuk akan buat axercise. Duduk dalam rumah pun sangat bosan.”
            “Oh... tadi tu...”
            “Ya, itu seni mempertahankan diri Jepun. Dulu, atuk pernah belajar masa muda-muda. Sekarang atuk melatih cucu atuk pula. Tapi, dia itu sangat sibuk dengan aktiviti lain. Kalau berlawan dengan atuk pasti kalah. Orang muda sekarang memang lemah betul. Haha...” Sir Adam semakin ceria.
            Aku turut ketawa ceria. Nampaknya hubungan lelaki ini sangat rapat dengan cucunya. “Patutlah, Tuan Adam nampak sihat.” Aku memberi komen atas apa yang dapat aku lihat dari segi luaran lelaki itu.
            “Panggil aje atuk. Jangan segan-segan. Mari kita minum teh. Ini teh yang dipetik dari ladang atuk sendiri. Cubalah rasa.” Sir Adam sungguh peramah, dia sendiri yang menuangkan teh itu dalam cawan kecil seperti mangkuk untuk aku.
            “Silakan...” Sir Adam menghulurkan kepadaku.
            “Terima kasih...” aku benar-benar rasa segan.
            “Macam tak percaya Aya sudi datang ke sini.” Ujarnya sambil menuang teh dari teko ke dalam cawannya pula.
            “Saya suka tempat ini.” Aku cuba mengambil hatinya. Tanganku mengangkat cawan teh itu dengan lemah-lembut lalu aku minum dengan hati-hati. Agar tidak tertumpah atau terlepas dari peganganku kerana cawan itu kecil dan licin.
            Aku meletakkan kembali cawan itu ke meja dan menarik nafas lega. Apa yang bertambah segan, beberapa pelayan turut berdiri melihat kami di sebelah. Seorang lelaki yang berpakaian chef datang dan meletakkan semangkuk puding yang kelihatan sangatlah lazat.
            Please enjoy your pudding.” Katanya sambil tersenyum manis kepadaku. Terserlah matanya yang kehijauan dan giginya yang tersusun rapi. Chef pun sangat kacak! Ish... ish... ish... bertenang Aya, bertenang.
            Breath Aya, breath!’ kataku dalam hati.
            “Atuk juga harap, Aya akan berkawan baik dengan cucu atuk itu. Sejak kecil, tidak ada kawan. Kawannya semuanya buku-buku. Tapi, sejak kebelakangan ini... atuk nampak dia semakin ceria. Walaupun dia dalam tekanan. Jadilah kawan yang baik kepada dia. Malah, kamu akan jadi adik-beradik angkat.” Bicara Sir Adam kali ini lebih rendah dan lahir dari hatinya yang paling dalam. Ada wajah penuh berharap dipamerkan.
            “Saya akan cuba...” aku mengangguk beberapa kali. Ini adalah harapan seorang datuk yang banyak berbakti untuk keluarga ini. Lihatlah kehidupannya... penuh dengan lambang-lambang kecintaan.
Seperti taman ini. Siapa yang datang pasti akan merasai perasaan kasih sayang itu di sebalik setiap warna mawar berduri ini. Teringat pula kata-kata ahli falsafah, janganlah kamu melihat duri di tangkai mawar, akan tetapi nikmatilah keindahannya. Maksud di sebalik ayat itu, kita janganlah melihat dunia dengan penuh bala bencana. Tetapi lihatlah keindahan yang telah Tuhan limpahkan untuk dinikmati. Barulah kebahagiaan itu datang dan ketenangan bisa diraih. Kita juga janganlah terlalu membenci sesama manusia, akan tetapi lihatlah juga kebaikannya agar hati kita sentiasa suci.
            “Habiskan puding kamu. Lepas ini atuk bawa kamu jalan pusing taman ini. Ada lebih 60 spesis bunga mawar yang atuk dapatkan dari seluruh dunia. Jadi, kamu pasti akan suka melihatnya.”
            Mukaku berubah ceria. Itulah yang aku nanti-nantikan! Tidak sabar ingin melihat keindahan taman ini sepenuhnya dan mencari kisah di sebalik taman yang indah ini!
**********
            KAMI berjalan melewati beberapa pokok ros putih yang berkembang mekar. Kelihatan sungguh suci dan cantik. Sempat aku mencapai sekuntum dan dibawa ke hidung untuk menghidu keharumannya sambil memejamkan mata.
            “Tak sangka ros dapat tumbuh subur di sini. Selalunya di Cameron Highland ataupun di tanah tinggi.” Kataku.
Sir Adam ketawa kecil. “Dulu atuk pun fikir begitu. Sekarang apa yang mustahil pun boleh jadi tak mustahil kan? Teknik menanam ros dengan betul telah berjaya ditemui oleh penggemar ros yang mencuba dan mencari formula terbaik untuk menyesuaikan mawar pada persekitaran tanah rendah. Hasil usaha mereka itu kini, kultivar ros juga mampu hidup, dibiakkan dan mekar dalam cuaca serta iklim tak menentu di mana sahaja asalkan betul teknik-teknik penjagaannya.” Terang Sir Adam dengan panjang lebar. Kemudian, dia memetik sekuntum mawar berwarna kuning dan memberikan kepadaku.
“Terima kasih...” aku tersenyum suka. Aku tidak henti-henti mencium aroma yang terbit dari bunga itu. Ah... wanita dan ros tidak boleh dipisahkan!
Kami meneruskan perjalanan meneroka taman itu. Sungguh, pelbagai jenis ros tumbuh dengan subur dan ada juga ros yang di kacukkan. Namun, warna ros asal tetap menarik perhatianku. Iaitu ros merah!
“Ros merah ini yang mula-mula ditanam di sini. Kalau kamu suka boleh petik sendiri. Tapi hati-hati dengan durinya.” Pesan Sir Adam.
Aku terus mencapai sekuntum dan memetiknya dengan hati-hati. Senyumanku makin melebar.
“Boleh saya tahu... kenapa atuk buat taman ini?”
Lelaki itu bergerak sedikit dan mengambil tempat di sebuah kerusi kayu berhampiran. Aku turut mengambil tempat di sebelahnya. Angin petang bertiup lembut dan kelopak mawar berterbangan lagi. Aku seolah-olah ingin bangun berlari untuk menangkapnya.
“Arwah isteri atuk, menghidap kanser. Dan dia dikatakan tidak punya banyak masa. Waktu itu, atuk sangat tertekan dan sangat sedih. Kehilangan isteri pertama dulu pun atuk sukar untuk terima, atuk tidak mahu rasa kehilangan lagi. Sehinggalah kawan lama atuk yang tinggal di UK beritahu sesuatu.
Dia dulu juga penghidap kanser. Jadi, dia telah berkongsi pengalamannya kepada atuk. Dalam kajian klinikal ros secara saintifik, bunga ros mengandungi agen anti-kanser yang dapat membantutkan pertumbuhan sel kanser. Siapa sangka aromaterapi mawar menjadi kuasa penyembuh setelah dia hampir berputus asa dengan pelbagai rawatan moden yang terbaik di sana. Keajaiban yang berlaku itu ada signifikannya dengan kuasa penyembuhan yang berlaku hasil aktiviti terapi mencium haruman bunga ros setiap hari.
Jadi, atuk mula rasakan harapan itu kembali hidup. Atuk ciptakan taman ini agar dia dapat terapi yang baik dari bunga-bunga ros yang terdapat di sini. Setiap hari atuk bawa dia jalan-jalan dalam taman ini dan sama-sama mencium haruman ros. Alhamdulillah, dengan kehendak Allah umurnya dipanjangkan sehingga 10 tahun. Selepas itu dia pergi juga, kerana Allah lebih sayangkannya. Tetapi atuk sangat bersyukur... 10 tahun itu kami nikmati hidup bersama, kami menghargai setiap detik yang ada, dan tidak mungkin atuk dapat lupakan.”
Aku terasa air mataku bergenang. Sungguh aku terharu dengan kisahnya. Tanda kasih-sayang Sir Adam kepada isterinya sangat luar biasa. Tidak sampai hati pula memetik bunga yang berada di taman ini.
“Semoga... semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah...” ucapku perlahan.
“Terima kasih Aya, sebab sudi mendengar cerita atuk yang tak seberapa ini.”
“Tak... saya fikir ianya... satu keajaiban.”
“Semuanya kehendak Allah. Cuma kita manusia harus ada usaha.”
Aku mengangguk setuju.
“Mari... kita balik ke rumah. Mesti cucu atuk pun dah balik, kita makan petang sama-sama. Kamu bolehlah berkenalan...” Sir Adam bangun berdiri.
Aku mengetap bibir. Cucu Sir Adam? Macam mana rupanya ya? Adakah selembut Sir Adam juga. Yang sangat menghargai bunga dan wanita?