Monday, 29 October 2012

Kekasih Palsu 17,18


BAB 17
“Kak Rania terima kasih banyak-banyak. Senior...” Aku memandang Ray yang berdiri di sebelah Kak Rania. “Terima kasih...” aku menunduk sedikit.
            “Aya, please take care of yourself. Dah tahu rumah akak kan, boleh la datang lain kali.” Kak Rania tersenyum ramah. Wanita itu bertegas mahu menghantar aku pulang. Memandangkan aku tidak membawa satu sen pun duit bersama. Macam betul-betul dah jadi pelarian.
            “Ya, terima kasih.” balasku. Sekali lagi aku memandang ke arah Ray.
            “Aya, kita jumpa esok kat Asrama Putera Emas.”
            Aku mengangguk setuju. Sudah pastilah untuk menyambung perbualan kami yang tergantung itu. Aku benar-benar ingin tahu bagaimana Senior Ray boleh tahu hal itu. Dia ni memang stalker ke?
            Aku melambai tangan menghantar pemergian Kak Rania dan Ray yang menaiki kereta keluar dari kawasan perumahanku. Aku mengeluh lagi. Memusingkan badan menghadap ke rumahku yang kelihatan terang. Mesti Abang Is tengah tunggu aku. Aduh...
            Lambat-lambat aku menolak pintu pagar memasuki halaman rumah. Aku harap semua dalam keadaan baik-baik!
            “Aya, baru nak balik.” tegur Abang Is yang sedang santai di sofa ruang tamu.
            Aku berdiri kaku di pintu. Memandangnya tanpa berkelip. Cepatnya doa aku dimakbulkan. Suara Abang Is kedengaran santai. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
            “Aaa...Aya minta maaf. Aya cuma singgah rumah kawan.” Aku berjalan setapak demi setapak dengan lambat-lambat menuju ke tangga.
            “Berdiri kat situ!” sergah Abang Is tiba-tiba.
            Hampir terlompat aku kerana terperanjat. Aku menoleh memandang Abang Is yang sudah bangun berdiri berhadapan dengan aku.
            “Kau dah hilang akal ke?!” jerkahnya kuat.
            “Aya... Aya minta maaf.” Aku menutup mulut dengan kedua belah tangan. Aku betul-betul sangat gementar dalam situasi begini. Wajah Abang Is ternyata merah.
            “Ada orang tunggu kau dari petang tadi lagi.”
            “Apa?” sekali lagi aku terkejut. Mataku beralih memandang ke arah kanan. Seseorang keluar dari ruang dapur dan berjalan menghampiri kami.
            Lututku terasa lemah dan ingin rebah! Si bedebah! Macam mana dia boleh ada kat sini?!  
            “Aya, let’s talk.” Harry betul-betul sudah berada di depanku.
            “Tuan Muda Harry. Hari dah malam, lebih baik bercakap dalam rumah ni aje.” Abang Is merendahkan suaranya. Penuh hormat.
            “Aya, aku tahu kau lari sebab aku kan?” Harry memang tidak suka membuang masa dengan mukadimah.
            Aku mengalihkan muka memandang dinding. Lebih baik dari pandang muka jin itu. Silap hari bulan boleh merasuk amarahku. Dengan rumah-rumah ini boleh meletup.
            Abang Is ternyata sangat terkejut dengan sikapku. Tetapi dia tidak berani bersuara.
            “Ada beza ke? Kalau cucu Sir Adam tu orang lain ataupun aku?”
            “Lebih baik awak balik. Rumah ni terlalu kecil untuk ketua jin macam awak!”
            “Aya!!” Abang Is melangkah setapak. Benar-benar terkejut dengan kata-kata aku. “Maaf tuan muda!” Abang is memandang Harry dengan rasa bersalah mendengar kebiadaban aku.
            Harry menyeluk poket seluarnya. Keadaannya masih kelihatan relaks. “Kau fikir aku sengaja nak sembunyikan identiti aku? Setahu aku... hanya ahli-ahli utama dalam Persatuan Pelajar aje yang tahu siapa aku sebenarnya. Tidak pelajar lain. Jadi, kenapa mesti aku kena beritahu kau?”
            Aku sedikit tersentak. “Termasuk Senior Ray?” soalku. Kali ini aku memandangnya.
            Harry hanya mengangkat kening. “Well...  aku memang tahu salah seorang anak Encik Malik akan jadi cucu angkat atuk. Tapi, aku tidak tahu yang mana satu. Mungkin jodoh kita kuat, jadi orang itu adalah kau.”
            “Huh!” Aku tersengih sinis. Melihat wajah Harry yang serius itu membuatnya benar-benar kelihatan kacak! Ya... kacak dan bongkak macam merak kayangan!
            “Kau jangan salah faham yang aku datang ni semata-mata nak cakap benda-benda remeh macam ni tanpa tujuan. Aku bukan orang yang kau fikir suka ambil tahu pasal perempuan yang tak beradab macam kau.  Datang ke vila esok untuk minta maaf dengan atuk. Dia tak boleh makan seharian kerana risaukan kau. That’s all.” Selesai menamatkan ayat terakhirnya Harry terus memusingkan badan dan berjalan menuju ke pintu.
            “Ah... Tuan Muda Harry, maaf atas semua tu.” Abang Is mengejar Harry untuk menghantar lelaki itu keluar.
            Aku tergamam di anak tangga pertama dengan rasa tidak percaya. Tak... tak pernah seumur hidup aku jumpa orang seteruk kau bedebah! Betul-betul bongkak!!!!
            Abang Is kembali dan menonong ke arah aku. Tidak sempat aku mengelak terus Abang Is mengetuk kepala aku dengan buku limanya.
            “Sakitlah!” aku merengek sakit. Dengan berwajah sebik aku tidak berani melawan pandangan Abang Is.
            “Kau... kau betul-betul nak berkawan dengan Keluang Man ke?! Aku boleh hantar kau ke Hospital Bahagia sekarang jugak! Mana kau letak kepala lutut kau, hah!” Jerit Abang Is lantang dengan marah yang membuak-buak.
            “Kepala lutut mestilah kat lutut!” Aku membalas sambil menggosok kepalaku yang sudah benjol macam bola Pingpong.
            “Haish!” Abang Is ingin mengetuk kepala aku sekali lagi tetapi dia terbejat. “Kau... kau ni memang dah hilang akal. Dia tu cucu majikan ayah tahu tak! Atuk dia dah banyak berjasa tahu tak! Berani kau panggil dia jin! Dah tu... lari dari rumah macam tu aje! haish!” Abang Is tidak keruan kerana terlalu marah.
            “Ayah... ayah tahu ke pasal ni?” aku akhirnya merendahkan suara dan mempamerkan wajah yang sedih.
            “Tak payah tunjuk muka macam tonggeng ayam kau tu kat aku.” Abang Is mengetap bibir geram. “Ayah tak tahu... kau nak bagi ayah jatuh sakit ke dengar anak dia biadab macam kau hah, bedebah!”
            “Bedebah? Heh! Jangan samakan saya dengan dia lah!” berdesing telinga aku mendengar panggilan itu.
            “Sama dengan siapa?!”
            “Tuan... Muda... Harry!” aku menyebut satu-satu nama itu biar jelas di pendengaran Abang Is.
            Ternganga mulut Abang Is ketika itu. “Kau memang tak serik ke!” Abang Is mengejar aku yang sudah lari lintang pukang menaiki tangga. Terus aku masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dengan rapat. Fuhh legaaa!
            “ESOK KAU PERGI MINTA MAAF DENGAN DIA ORANG!!!”
*********
            PAGI itu aku perlahan-lahan keluar dari bilik. Marhani adikku yang bongsu sedang mandi untuk bersiap ke sekolah. Mujurlah semalam kedua adikku Marhani dan Naufal pergi ke kelas mengaji al-Quran, kalau tidak mereka mesti akan terkejut melihat pertelingkahan aku dan Harry. Termasuklah Abang Is. Tidak baik tunjuk sikap buruk depan kanak-kanak yang baru membesar. Aku turun menuju ke ruang tamu dan melihat baju dan beg sekolah aku berada di situ. Mesti Harry yang bawa ke sini semalam.
            Abang Is datang dari ruang dapur dan terhenti langkahnya melihatku yang terpinga-pinga. Aku menunduk mengambil barang-barang aku dengan tergesa-gesa.
            “Abang pergi kerja dulu. Sarapan ada kat dapur. Pastikan adik-adik makan sebelum pergi sekolah.” Pesannya sepintas lalu. Abang Is berjalan ke pintu dengan lengkap berpakaian kerjanya. Persis seorang barista profesional.
            “Baik...” aku mengangguk lemah. Aku sedar Abang Is sangat sayangkan aku. Marahnya semalam pun sebab aku yang salah. Betul katanya, aku tak sepatutnya buat hal seperti itu. Sir Adam dah terlalu banyak menabur budi kepada kami sekeluarga. Aku pula sudah melakukan perkara  yang sungguh biadab. Melarikan diri macam itu aje. 
            Aku menghantar Marhani dan Naufal menaiki van sekolah di depan rumah. Kedua-duanya masih bersekolah rendah. Mereka sangat ceria pagi ini. Puas juga aku kena menjawab soalan mereka mengenai Harry yang tiba-tiba datang ke rumah semalam.
            “Abang Harry datang sejak petang. Dia tunggu Kak Aya, tapi masa Kak Aya balik kami pergi kelas menganji. Kenapa Abang Harry nak jumpa akak?”
            Lebih kurang macam itulah soalan mereka. Adik-adik aku ini... terlalu kecil untuk memahami masalah aku. Aku melambai tangan kepada mereka yang sudah berada di dalam perut van.
            “Kenapa Kak Aya tak bersiap nak pergi sekolah?” Sempat Naufal menyoal ketika sudah berada di tempat duduknya.
            Erk! Budak ni. Habis semua rakan-rakannya memandang aku dengan pelik. Mesti mereka fikir aku ni suka ponteng sekolah. Mana tidaknya aku kelihatan sangatlah sihat walepat liat.  Tapi dalaman aku ni yang parah siapa yang tahu?!
            “Akak ada hal sikit. Jangan bagi tau abang Is ye!”
            “Wahh... akak awak ni Naufal, dah lah ponteng sekolah. Suruh awak menipu pulak.” berapa rakannya turut berbisik-bisik.
            “Er..” Aku mengetap bibir. Budak-budak ni!
            Naufal mempamerkan memek muka marah kepadaku. Mestilah dia sudah malu.
            Marhani pula sudah menutup muka dengan buku. Menyesal ada kakak macam aku gamaknya. Argghh! Pagi-pagi pun dah malang!!!!
*********
            TERPAKSA ponteng sekolah! Mungkin itulah ayat yang sesuai dengan keadaan aku sekarang ini. Awal-awal pagi lagi aku sudah keluar ke bandar. Menuju ke kawasan kedai yang tempat aku jatuh pengsan semalam. Tujuan aku hanya satu, mencari kertas nombor telefon pak cik teksi itu!
            “Kat mana ni...” aku terbongkok-bongkok mencari kertas itu di kaki lima kedai perabot itu. Masih awal pagi jadi kedai-kedai di situ masih belum buka. Aku menjenguk ke dalam longkang. Tak ada juga.
            “Habislah... habislah...” aku melompat-lompat di depan kedai itu. Betul-betul sudah tertekan!
“Baiklah... saya tahu rumah awak. Rumah besar tu... saya akan pergi sana kalau awak tak bayar pagi esok!”
            “Ahh... alamak, alamaaaakkk!” Aku baru teringat kata-kata pak cik teksi itu semalam. “Matilah kalau dia dah pergi sana!!” Aku terus bergegas ke perhentian bas. Seperti kucing kehilangan anak. Aku berjalan mundar-mandir di depan perhentian bas itu. Semua orang sudah memandang pelik ke arahku. Apa aku peduli! Janganlah dia pergi sana. Tolonglah...
            “Jangan pergi. Jangan pergi!”
            “Cik... cik... cik ada masalah ke?” soal seorang mak cik yang kebetulan menunggu bas di situ juga.
            Aku berhenti mundar-mandir dan memandang mak cik itu dengan terkebil-kebil.
            “Eh...” aku berdiri tegak semula. Berlagak seperti biasa. “Tak ada apa-apa.”
            Tiba-tiba sebuah kereta berhenti mengejut di depan perhentian bas itu. Semua yang ada di situ terkejut dan memandang ke depan. Termasuklah aku.
            Kereta itu adalah Teksi yang yang berwarna merah terang. Aku mengamatinya. Macam kenal...
            “Hey! Kamu!” seorang lelaki keluar dari teksi itu dengan tergesa-gesa menuju ke arah aku.
            “Alamak!” Aku menutup mulut dengan tangan. Pak Cik teksi semalamlah! Dia dah pergi ke Vila Taylor ke?! Matilah aku!
            “Panjang umur betul! Kenapa tak telefon, hah! Saya memang on the way nak ke rumah tu sekarang. Jadi, macam mana? Kamu nak bayar sekarang atau kita selesaikan kat sana!” Pak cik itu menengking dengan nyaring.
            Semua mata tidak lari dari memandang kami. Masing-masing sudah berbisik-bisik. Malah ada yang yang ingin campur tangan tetapi di halang oleh rakan mereka. Mestilah mereka fikir pak cik ini keterlaluan kerana menengking aku di tengah khalayak.
            “Saya akan bayar sekarang! Saya bayar... tolong jangan pergi ke sana.” tanganku pantas mengambil dompet di dalam beg galas. Aku mengeluarkan beberapa not RM 10 dan menyerahkan kepada lelaki itu. Duit gaji aku tu... terpaksalah.
            Lelaki itu mengerutkan dahinya sambil mengira jumlah wang itu.
            “Kau dah gila?! Ini baru berapa. Tak sampai pun dua kali ganda! Aku kata lima kan!”
            Aku menunduk malu. Lelaki ni betul-betul macam ahli kongsi gelap! “Tak baik makan riba. Nanti anak-anak pak cik makan duit hasil yang tak bersih. Mesti kasihan.”
            Aku baru tersedar! Apa aku dah cakap tadi? Macam mana kalau lelaki ini naik marah. Otak aku semakin tak boleh berfikir dengan waras sekarang.
            “Apa kau cakap?!” Lelaki itu merenung aku dalam. Seperti ingin putus jantung aku kerana terlampau takut.
            “Sudahlah tu...”
            Aku terdengar satu suara yang datang dari arah kanan. Lantas aku menoleh.
            “Kau ni siapa?!” pak cik teksi itu menyoal kasar.
            Lelaki tinggi lampai itu mengeluarkan dompet dari poket seluarnya.
            “Ini cukup?” Harry menghulurkan beberapa helai wang kertas berwarna biru. Agak tebal.
            Pantas lelaki itu mencapai duit dari tangan Harry. Tanpa mengiranya terlebih dulu dia terus masuk ke dalam teksinya dan berlalu pergi. Semua orang tercengang dengan situasi itu. Paling teruknya mestilah aku!
            “Kenapa awak bayar!” jerkahku lantang.
            Harry tersengih sinis. “Aku buat jahat pun kau marah, aku buat baik pun kau bising. Aku rasa aku perlu hidup lama lagi kalau kau nak aku mati pun.” Harry dengan selamba berjalan menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari di situ.
            Aku menggenggam tangan dengan erat. Mata aku mencerlung tajam melihat kelibatnya yang hilang dalam kereta panjang itu.
            “Harry... apa yang ada dalam fikiran awak, hah?!”
**********
            “TUAN muda... saya rasa kita patut tumpangkan Cik Aya balik ke rumah.” Tam bersuara di depan.
            “Saya dah terlepas satu kelas hari ini. Saya tak nak orang fikir saya presiden jadi boleh sesuka hati pergi lewat ke sekolah.”
            Tam tersengih. “Guru disiplin kan kenalan rapat Sir Adam. Dia mesti faham...”
            Harry mengerutkan dahi. “Saya bukan orang yang macam tu... cepat jalan.” Arah Harry.
            Tiba di sekolah agak lewat hari itu kerana semalaman dia tidak boleh tidur. Kepalanya penuh dengan pelbagai perkara yang difikirkannya. Entah sampai bila dia harus begini. Terlalu sakit kerana menanggungnya seorang diri.
            “Presiden!! Selamat pagi!” 
            "Morning, president!"
            Harry terus berjalan walaupun begitu ramai yang menyapanya pagi ini. Sudah pasti sekarang waktu rehat dan dia pula baru tiba ke sekolah. Sewaktu tinggal di asrama dia tidak pernah bersikap seperti ini.
            “Presiden! Jom kita pergi makan sama-sama. Saya ada bawa sandwich!” seorang gadis tiba-tiba muncul dan menghalang jalan Harry.
            “Terima kasih.” Harry terus menyambung langkahnya.
            Gadis itu jelas hampa. “Dah datang sekolah lambat. Sombong pula.”
            “Heh! presiden bukan macam tu lah! Walaupun dia nampak macam sombong, tapi dia sebenarnya baik hati!” kata seorang pelajar perempuan lain.
            “Baik hati?”
            “Ya... bila persatuan pelajar ada masalah. Dialah orang pertama yang akan tampil untuk menyelesaikan masalah. Kau kena ingat, kita semua sangat bergantung kepada Persatuan Pelajar. Tanpa orang-orang yang berkaliber yang menguruskan persatuan pelajar, sekolah kita tak akan nampak seperti sekolah golongan elit.”
            “Itu bukan baik hati. Tapi tangungjawab!”
            “Hey... kau ni kalau nak frust pun jangan nak mengutuk presiden pulak!”
            “Kau orang...” tiba-tiba sekumpulan pelajar dari Persatuan Pelajar menghampiri mereka.
            “Kalau nak buat bising kat depan bilik Persatuan Pelajar, sila ikut kami ke bilik pengetua.”
            “Minta maaf!” Mereka terus berlari terkecoh-kecoh meninggalkan lobi Bilik Persatuan pelajar.
“Bising betul... masih tak berputus asa dengan Harry. Walaupun dah tahu presiden dah ada girlfriend.”
            “Jes...sekurang-kurangnya mereka tu lebih kuat dari Sallyna. Terus bawa diri sebab putus asa dengan Harry.”
            “Suzy... presiden yang buta hati. Bukan masalah lain. Aku tak tahu macam mana perempuan biasa tu boleh pikat Harry.”
********** 
            HARRY menyentuh piano yang berada dalam Bilik Muzik itu dengan satu perasaan yang mendalam. Sekali dia melarikan jarinya di atas piano itu, terhasillah satu alunan yang pernah di ajar seseorang kepadanya suatu waktu dahulu.
            “Lagu ni senang aje nak main. Tak kan awak tak tahu?”
            Harry hanya menggeleng. Di tangannya ada sebuah buku agak tebal.
            “Letak ke tepi dulu buku ni. Hidup awak ni membosankan betul!” Sallyna memuncungkan mulutnya. Dia merampas buku itu dan meletakkan di tepi.
            “Duduk kat sini.” Sallyna menepuk kerusi di sebelahnya. “Duduklah!” gadis itu terus menarik tangan Harry.
            Harry duduk sambil melihat piano di depannya dengan pandangan yang kosong.
            “Rumah awak ada piano tapi awak langsung tak tahu main. Tak ada siapa yang ajar ke?”
            “Ini piano atuk saya.” jawabnya pendek.
            “Atuk?” gadis itu ketawa. “Nampaknya hidup atuk awak lebih baik dari awak. Suruh la mama awak hantar ke kelas piano. Saya dah nak habis belajar dah pun. Cikgu saya orang Perancis. Dalam masa yang sama saya boleh belajar bahasa French. Best kan?”
            “Saya tak boleh pergi kelas piano sebab saya kena belajar Bahasa Perancis. Ini novel-novel dalam Bahasa Perancis yang saya kena baca.” Harry lantas menunjukkan beberapa buah buku kepada gadis itu.
            Sallyna melopong. “Biar betul awak ni!”
“Hidung saya tak panjang kan. Jadi, mestilah saya tak menipu.”
“Haha...” Sallyna ketawa lagi.
Harry memandang gadis itu yang kelihatan sangat comel apabila ketawa.
“Baiklah... mari saya ajarkan awak satu lagu.”
Bartolomeo Cristofori...” ujar Harry perlahan.
“Apa?” Sallyna tidak jadi untuk bermain piano itu.
“Orang yang mencipta piano.” Harry tersengih.
“Wahh... awak ni memang bijak. Nampaknya saya ada seorang kawan baru yang genius! Si ulat buku yang beku!”
“Apa?” Harry terkejut.
“Tak ada apa-apa.” Sallyna ketawa ceria.
“Cik Muda Sallyna. Puan Maria dah nak pulang.” tiba-tiba seorang butler muncul di pintu ruang itu.
Sallyna mematikan senyumannya. Lalu memandang ke arah Harry. “Lain kali kalau mama saya datang sini, saya akan ikut lagi. Masa tu saya akan ajarkan awak satu lagu tu. Okey?”
Harry tidak menjawab. Diam tidak berkutik.
“Awak kena jawab macam ni. Baiklah, saya akan tunggu awak. Cubalah cakap.” Sallyna mengajar cara berkomunikasi pula.
“Baiklah, saya akan tunggu awak.”
“Macam itulah! Jumpa lagi.” Sallyna terus berlari keluar untuk mendapatkan ibunyanya.
“Baiklah, saya akan tunggu awak.” ulang Harry perlahan.

PINTU bilik Persatuan Pelajar di buka dari luar. Harry tersentak dan terus bergerak meninggalkan piano itu. Dia ingin kembali ke mejanya tetapi melihat Ray di depan terus dia berhenti melangkah.
“Rasanya kat sini tak sesuai untuk bercakap. Mari kita pergi ke tempat lain.” Ray memandang Harry tepat sebelum berjalan keluar dari Bilik Persatuan Pelajar.
Harry bertenang ketika berhadapan dengan Ray yang tiba-tiba ingin bertemu dengannya. Mereka mencari lokasi yang agak privasi iaitu tempat latihan renang Harry yang terletak tidak jauh dari blok kelas mereka. Harry berdiri sambil menyandar di tiang besar, manakala Ray hanya berdiri tegak dengan memasukkan kedua tangannya di dalam saku seluar.
            “So... apa yang penting sangat tu?” Harry tidak mahu membuang masa terus membuka bicara.
            Ray melepaskan nafas agak berat. Bibirnya juga bergerak-gerak.
            “Kalau pasal Marhaya. Lebih baik kau putus asa.” tembak Harry sebelum Ray sempat menjawab.
            Ray ketawa kecil. Sedikit sinis. “Betullah... ramai orang cakap kau genius.” sempat Ray memuji.
            Harry tidak mempamerkan apa-apa reaksi. Dia menanti kata-kata seterusnya dari Ray.
            Ray mengangguk. “Memang pasal Aya. Tapi, aku tak setuju dengan ayat putus asa tu.”
            Harry berubah serius. “Macam mana kau nak tawan hati dia sedangkan dia bersama aku?” Harry sengaja memprovok.
            “Aya, seorang yang baik dan naif. Aku tak sanggup tengok dia terluka...” Ray berjeda.
            “Dan disakiti oleh orang yang tak menghargainya.” sambungnya kemudian.
            Harry memeluk tubuh. “Kaulah orang yang akan lebih menyakiti dia. Oleh itu, tolong jangan dekati dia lagi. Kalau tidak... kau pasti akan lebih menyesal.”
            Ray sedikit terkejut. “Apa yang kau merepek, Harry. Apa yang kau tahu tentang menjaga hati? Lihatlah apa yang kau dah buat kepada Sallyna.”
            “Hal Sallyna... hal Aya, berbeza. Ingat pesanan aku... putus asalah dengan Aya. Dia bukan untuk kau.” Harry terus melangkah keluar tanpa mahu mendengar kata-kata balas dari Ray.
            Ray memejam mata. “Apa agenda kau sebenarnya, Harry?”
            Harry berhenti melangkah. “Apa maksud kau?”
            “Kenapa tiba-tiba couple dengan Aya? Adakah sebab nak mengelak dari Sally semata-mata?”
            “Aku rasa kau tak perlu tahu lebih dari apa yang kau patut tahu.” Harry meneruskan langkahnya.
            Ray menoleh memandang tubuh Harry yang semakin menghilang.
            “Kau semakin beku sekarang, Harry.”
**********
BAB 18          
            “HUH! Apa dia ingat duit macam daun pokok ke?! Berhenti tepi jalan dengan berlagak terus bagi duit kat orang tak kenal beratus-ratus. Wahhh!! Dia ingat dia anak Gabenor Bank Negara ke apa. Main cop-cop duit aje!”
            Aku menyepak tin kosong yang menghalang jalanku ke tepi. Kalau boleh dengan si jin tu sekali aku nak sepak! Berani dia tunjuk muka kat depan aku lagi. Ingat muka kau tu kacak sangat ke?!
            Aku berhenti di sebuah gerai tepi jalan yang betul-betul berada di depan sebuah permis. Mataku terus melihat tonggeng ayam goreng di atas meja.
            “Wahh! Selalunya ada kat pasar malam aje!” aku tersenyum panjang.
            “Adik nak apa?” soal mak cik itu ramah.
            “Tonggeng ni lima cucuk.” pintaku dengan ceria.
            Mak cik itu mengambil lima cucuk tonggeng ayam dan memasukkan dalam plastik. Aku menunggu dengan sabar. Lama dah tak makan ni!
            “Er... adik ni nampak macam budak sekolah lagi. Tak pergi sekolah ke?” tiba-tiba suami mak cik itu menegur aku. Entah dari mana dia datang. Tiba-tiba muncul di sebelah mak cik itu.
            “Betullah...” mak cik itu mendekatkan mukanya menilik wajah aku.
            “Er... saya bukan budak sekolahlah. Saya baru habis SPM.” Jawabku selamba yang mungkin. Sejak bila aku pandai menipu ni? Huh... sejak bila lagi. Sekilas wajah si bedebah itu terlintas di kepalaku.
            “Bukannya apa... semakin banyak kes budak ponteng sekolah sekarang ni. Kami cuma ingin menegur. Baru boleh jadi masyarakat yang prihatin.” balas pak cik itu melihat aku dengan curiga.
            “A'hah... betul tu pak cik. Saya pun tak boleh tengok perangai budak-budak sekolah sekarang ni. Bila dia orang buat perkara tak bermoral seperti ponteng sekolah, merempit, merompak, itu bermakna dia orang menghancurkan tamadun yang dibina. Moral amat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah seseorang yang melambangkan tahap peradaban. Betul tak?”
            Aku membuat wajah sedikit berlagak pandai. Amacam, ada nampak macam gaya orang dewasa tak?
            “Wahh... adik ni mesti dah masuk universiti kan. Pandai betul berbahasa. Nah, ini tonggeng kamu.”
            “Tonggeng saya?!” Aku terkejut. Berubah wajahku. Tonggeng a.k.a punggung.
            Serentak pak cik dan mak cik itu ketawa besar. Aku pula sudah termalu sendiri. Haish!
            “Maaflah, mak cik tersilap cakap.” mak cik itu berhenti ketawa.
            “Terima kasih!” Selepas membayar aku terus berlari meninggalkan gerai mak cik itu. Sungguh aku dah malu gila. Padah berbohong!
            Sementara menunggu waktu tamat sekolah aku terpaksa merayau di kawasan ini dahulu. Aku sudah berjanji untuk berjumpa Senior Ray di asrama. Petang nanti barulah aku akan ke rumah Sir Adam untuk memohon maaf. Hari ini penuh dengan aktiviti! Aku duduk di sebuah padang rumput yang agak berbukit. Berhadapan dengan tasik buatan yang cantik lagi indah. Kalau petang-petang adalah orang datang berjogging di kawasan ini. Aku dulu selalu juga datang sini dengan ayah. Kami bersenam bersama di hujung minggu.
            Ayah... cepatlah sihat. Semoga keluarga kita kembali seperti dulu. Aku tiba-tiba rasa sebak. Pantas aku menahan air mata dari mengalir. Aku membuka plastik yang berisi tonggeng ayam itu dengan perlahan.
“Walaupun kau tonggeng, tapi kaulah bahagian yang paling sedap tahu tak. Memang leceh... bila orang tahu aku suka makan kau. Ada yang gelakkan aku jugak. Apa masalahnya? Bukannya makan tahi ayam pun. Ah! Lantaklah... yang penting aku suka kau!”
            Aku tersenyum sambil membelek-belek tonggeng ayam goreng itu. Sedapnyaaa!!
**********
 
             “TAK sangka Aya betul-betul datang.” Ray tersenyum manis.
            Aku mengilas tangan ke dada. “Saya orang yang menepati janji.” Sempat aku melihat sekeliling. Bimbang jika ada yang perasan aku di sini.
            “ Jangan risau... taman asrama jarang orang datang . Maaflah saya tak dapat keluar jumpa Aya kat luar. Dan suruh Aya datang sini pulak. Saya ada meeting dengan ahli Persatuan Pelajar lepas ni.”
            Aku mengangguk lemah sambil menunduk memandang rumput yang menghijau. Tiba-tiba baru aku teringat akan sesuatu. Beg galas yang berada di atas riba aku selongkar dan aku mengeluarkan jaket hitam milik Senior Ray.
            “Maaf sebab dah lama simpan. Saya pulangkan kat senior... terima kasih.”
            Ray tersenyum dan mengambil jaketnya dari tangan aku. “Kalau Aya simpan pun tak apa...”
            “Tak apa. Senior...” aku terus memandangnya di sebelah. “Macam mana boleh tahu pasal saya dan Harry?”
            Ray tersenyum lagi, kali ini lebih panjang. “Nampaknya hal ni dah buat Aya runsing kan? Maaflah, saya sepatutnya berdiam diri aje sampai semuanya berakhir. Tapi itulah... saya tak pasti sampai bila Harry nak pegang Aya. Itulah yang buat saya risau...”
            “Sejak bila? Sejak bila awak tahu semua ni, Senior Ray?” aku semakin serius. Aku sendiri tidak percaya yang aku semakin bertegas hari demi hari.
            “Cik Aya janganlah buat muka tegang macam ni. Saya nak cerita pun jadi susah.” Ray ketawa kecil.
            Aku turut tersenyum. Tawar. Macam mana muka aku tak ketat. Dua orang lelaki yang masing-masing buat aku hampir hilang akal muncul dengan tiba-tiba dalam hidup aku.
            “Dalam bilik tu... sebenarnya saya ada kat pintu bilik presiden. Saya dengar perbualan Aya dan Harry. Bila Aya nak keluar, saya terus berundur. Nampak macam saya baru tiba aje kan?” penjelasan Ray sangat ringkas dan padat.
            Aku mengecilkan mata memikirkan peristiwa itu. Ya, selepas aku keluar dari bilik Harry memang aku terserempak Ray. Tak sangka pulak...
            “Saya dengar perbualan Harry dan Aya... walaupun saya dah tahu, saya sengaja nak tengok reaksi Aya dengan memberi tiket ke majlis tu. Memang betul la apa yang saya dengar. Aya memang terpaksa aje... kalau bukan pasal tu. Mesti Aya dah terima jadi pasangan saya ke majlis tu kan?”
            Aku terkejut mendengar kata-kata Ray. Dia ni memang suka buat andaian.
            “Senior...banyak perkara yang berlaku beberapa hari ni. Jadi, fikiran saya dah terlalu kusut. Saya harap... senior bagi saya masa.”
            “Saya tak pernah paksa Aya cakap apa-apa. Saya tahu... Aya dah banyak menanggung beban. Lagipun... saya suka jika jadi kawan tempat Aya luahkan segalanya. Menjadi telinga untuk mendengar masalah Aya. Dan menjadi pelindung Aya...”
            “Terima kasih...”
            “Kalau Aya nak... saya boleh suruh Harry lepaskan Aya.”
            Aku tersentak. Nafasku mula menjadi tidak teratur. Kenapa aku berperasaan begini?
            “Harry pasti akan faham kalau...”
            “Tak perlu!” aku pantas memotong ayat Ray. Ray ternyata terkejut. Dia matanya memandangku tepat.
            “Er... sebenarnya... saya rasa tentu Harry ada sebab-sebab tertentu kenapa dia buat macam ni. Jadi... saya harap dapat bantu dia. Senior pun tahu kan... dia tak ada kawan pun. Jadi, dia tak tahu nak minta tolong sesiapa. Mungkin cara dia nampak macam paksa saya. Tapi... dia sebenarnya perlukan pertolongan saya...”
            “Maksud Aya... Aya sanggup dipergunakan?” Ray seperti tidak berpuas hati.
            Aku pantas bangun berdiri. “Mungkin senior tak faham. Tapi, Harry tak ada sesiapa untuk mendengar masalah dia. Saya pergi dulu.” Aku terus membuka langkah. Perasaan aku sungguh kacau-bilau tika ini.
            “Aya! Aya!” Ray bangun dan cuba memanggil aku. Namun aku tidak mampu menoleh. Aku sungguh celaru sekarang ini. Kenapa aku tiba-tiba jawab macam itu. Aku betul-betul tidak menyangka yang aku akan mengeluarkan kata-kata seperti itu. Bukankah aku sangat membenci Harry? Ya, aku sangat bencikan dia. Tapi kenapa mesti aku membela dia di depan Senior Ray?!
            “Aya... adakah... awak sukakan Harry?” Ray mengeluh. Memandang gadis itu pergi seperti tersiat-siat hatinya.
**********
            “Harry... kenapa awak menolak Cik Sallyna?” soalku perlahan. Aku duduk di tepi tingkap bas. Memandang luar tanpa berkelip mata. Fikiranku sudah melayang. “Betul ke? betul ke aku sanggup dipergunakan?”
            Bas berhenti untuk mengambil penumpang. Aku tidak bergerak. Masih memandang ke arah luar. Kenapa hidup aku semakin rumit? Kenapa sangat susah nak jujur pada perasaan sendiri?
            “Jom turun!” Tanganku ditarik kasar. Terperanjat biawak aku dibuatnya.
            “Hey!” aku cuba menarik kembali tanganku.
            “Aku cakap turun dari bas ni!”
            Beberapa penumpang kelihatan tercengang melihat kami. Aku cuak. Bila masa mamat ni naik bas ni? Harry menonong jalan sambil menarik tangan aku menuju ke pintu bas. Aku terkecoh-kecoh mengikutnya. Dia ni memang dahsyat betullah! Macamlah tak boleh ajak elok-elok!
            Bas itu bergerak pergi. Aku melihat kereta Limo yang selalu dinaiki Harry itu tersadai di tepi jalan. Dia mengejar bas itu ke? Sudah hilang akal ke apa?!
            “Aku nak kau pergi minta maaf kat atuk hari ni jugak!” Harry terus menengking aku.
            “Awak ni pun dah terjangkit penyakit lembap saya ke? Memang bas ni menuju ke perumahan atuk awak kan!”
            Harry tergamam. Dia melepaskan lenganku. “Betul ke?”
            “Betullah, lembap!” aku merengus sambil menggosok lenganku yang terasa sakit. Tangan gajah ke apa. Sakit kot!
            “Kenapa kau pergi sekolah aku tadi?” Tiba-tiba Harry mengubah topik.
            “Hah!” aku tersengih sinis. “Sejak bila atuk awak wasiatkan sekolah tu kat awak.”
            “Hey! Kau jangan nak main-main dengan aku ye... aku bagi muka kat kau pun sebab atuklah. Kalau tak...”
            “Kalau tak, apa?!” aku menentang matanya. Tidak peduli orang yang lalu-lalang memandang ke arah kami. Lama. Lama kami saling menatap wajah masing-masing. Harry menelan liur. Terasa sukar untuk meneruskan ayatnya ketika ini.
            “Tuan muda, Cik Aya. Sila masuk dalam kereta sekarang. Tuan besar tengah tunggu di rumah.”
**********
            MELANGKAH dengan lemah sekali memasuki rumah. Aku melihat adik-adikku sedang mengulang kaji di ruang tamu. Abang Is pula berada di dapur. Kedengarannya seperti dia sedang memasak untuk makan malam. Aku menarik nafas dalam-dalam.
            “Kak Aya dah balik!” tegur adikku Naufal yang berumur 10 tahun itu.
            “Hari ni pun lambat, Kak Aya tak baik tunjuk sikap macam ni kat adik-adik tahu tak.” Marhani memuncung. Pensel di tangan dihayun kiri dan kanan.
            “Haha,” Aku tersengih kecil. “Dah tahu perangai akak tak baik janganlah ikut.” aku berkira-kira untuk naik ke bilik.
            “Macam mana?”
            Aku menoleh melihat Abang Is di pintu dapur yang sedang memegang senduk. Dia menyilang tangan ke dada. Menanti reaksi aku.
            Erk. Ini kalau silap jawab habislah. Aku melihat sekali lagi senduk di tangannya. Wajahnya juga serius. Perlu ke buat muka macam tu? Haish!
            “Aya... Aya dah pergi minta maaf.” ujarku perlahan. Tidak berani mengangkat muka.
            “Esok kau kena pindah ke sana. Ingat Aya, Abang bukan nak halau kau... tapi hidup kau akan lebih baik di sana. Abang akan sibuk dengan belajar lepas ni. Kerja part time lagi nak sara adik-adik. Sekurangn-kurangnya... kau tak perlu risau semua tu bila tinggal kat sana. Boleh tumpukan pada pelajaran aje. Faham tak?” Abang Is berubah serius dan tegas.
            Aku mengangguk. “Saya faham...” aku memusing badan. Melangkah lemah menaiki anak tangga satu persatu.
            Marhani dan Naufal memandang aku dan Abang Is sillih berganti. Aku tidak pasti sama ada mereka mengerti apa yang aku dan Abang Is tanggung selama ini.
            “Aaahhhh!” aku melompat ke atas katil. Mengambil bantal dan menyembamkan muka. “Hidup aku akan lebih baik kat sana?!” aku memukul tilam beberapa kali melepaskan geram. Kemudian aku berhenti. Aku bangun dan duduk di hujung katil. Memandang ke luar tingkap. Langit yang gelap tidak menampakkan sebutir pun bintang. Malam sepatutnya lebih cantik dari siang... petang tadi, aku benar-benar tidak menyangka aku dan Harry boleh berbaik dan merungkai segala salah faham. Mungkin kerana aku sudah letih... letih kerana berperang dengan perasaan sendiri.
            Tiba di rumah agam Sir Adam petang itu Harry terus menarik aku keluar dari kereta dengan kasar. Aku terkecoh-kecoh mengikutnya dari belakang. Dia membawa aku masuk mengikut pintu lain dan bukannya pintu utama. Ruang itu kelihatan lebih santai dari ruang tamu. Dindingnya kaca dan menembus ke pemandangan luar yang kelihatan jelas kolam renang besar berbentuk empat segi. Harry menutup pintu. Aku menarik tangan dari pegangannya. Mataku meliar melihat sekeliling. Tak ada sesiapa!
            “Kenapa bawak saya ke sini?! Saya nak keluar.” aku membuka langkah.
            “Tunggu dulu.” Harry menarik aku kembali. Dia memegang kedua belah bahuku. Aku menelan liur kerana dadaku sudah bergetar.
            Harry menarik nafas. Seperti sukar untuk meluahkan kata-katanya. “Begini...” Harry akhirnya memulakan ayatnya. “Aku... aku minta maaf atas semua yang berlaku sebelum ni.”
            “Apa?” aku tersengih sinis. “Awak letak apa kat bahu saya kali ni? Lipas? Cicak?” aku menolak tangannya. Lantas melihat ke dua belah bahuku. Tak ada apa-apa. Mujurlah...
            Harry mengeluh. “Aku tak nak orang cakap aku kejam menganiaya anak yatim macam kau. Aku tahu... atuk buat semua ni sebab nak tolong keluarga kau. Tapi disebabkan aku... kau menolak untuk tinggal kat sini. Itu tak adil untuk kau...”
            “Jadi?”
            “Jadi...” Harry merenungku. “Aku akan balik tinggal di asrama. Kau tinggallah kat sini dengan tenang.”
            Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengar kali ini. “Awak...” aku pula yang serba salah. Siapa cucu Sir Adam sebenarnya. Kenapa mesti dia pulak yang keluar dan aku masuk ke dalam rumah ini? Aku tak seteruk itulah!
            “Aku tinggal kat mana pun tak ada apa yang berubah. Setiap bulan pun duit aku masuk. Tapi kau? Lebih baik kau tinggal aje kat sini. Dan jaga atuk baik-baik.”
            Harry memusingkan badan. Dia seraya mahu meninggalkan ruang itu.
            Aku pantas menarik tangannya. Mendadak Harry berhenti dan menoleh melihat aku dengan wajah terkejut.
            Aku menunduk. Jantungku seperti ingin putus tatkala ini. Aku dapat merasakan Harry memusingkan seluruh tubuhnya menghadap aku. Aku perlahan-lahan memanggung kepala.
            Air mataku tiba-tiba bergenang. “Tak perlu pergi ke mana-mana... saya akan tinggal kat sini.”
            Harry tergamam. Perlahan-lahan Harry memegang mukaku. Menyeka air mataku dengan jarinya. Apa lagi... semakin kuatlah aku menagis.
            “Jangan sakitkan hati saya lagi. Tolong jangan sakitkan hati saya lagi...”
            “Aya... aku betul-betul...minta maaf.”
            Aku terasa jantungku seperti ingin pecah. kenapa aku tiba-tiba menangis pulak ni?
            Harry menarik aku dalam pelukannya. Aku memejam mata. Air mataku mengalir lagi. Tubuhnya sangat hangat dan aku dapat merasakan degupan jantungnya. Cuma degupan itu sebenarnya bukan untuk aku. Aku dapat rasakan Harry... sangat menyukai Cik Sallyna. Apa sebabnya dia buat seperti ini... aku pasti akan mencari jawapannya.
            “Jangan menangis lagi... aku dah minta maaf kan?” Harry mengusap kepalaku.
            “Jangan awak berani panggil saya lembap lagi!”
            “Baiklah... baiklah...” Harry tersenyum. “Tapi boleh panggil badut kan?”
            “Itu pun tak boleh!”
            Harry tersenyum lagi, tiba-tiba juga Harry berhenti mengusap kepalaku. “Aya... mesti kau dah banyak sakit kerana aku, kan?”
            Aku terdiam seribu bahasa. Tidak mahu menjawab soalanya itu. Akhirnya pertanyaan Harry itu hanya berlalu seperti awan yang ditiup angin.
            ‘Mungkin... saya sendiri yang memilih untuk rasa terluka...’
**********